CHONG Wei fokus kondisi diri berdepan Lin Dan.
CHONG Wei fokus kondisi diri berdepan Lin Dan.

Rio de Janeiro: Seperti diduga, Datuk Lee Chong Wei bertemu musuh utamanya Lin Dan sekali lagi.

Mereka sudah bertemu 36 kali sejak 12 tahun lalu dengan Lin Dan unggul menerusi 25 kemenangan berbanding lawannya 11.

Aksi separuh akhir Sukan Olimpik Rio esok adalah pertembungan ketiga antara kedua-duanya pada temasya empat tahun sekali itu dengan Lin Dan menang dua aksi terdahulu pada final Beijing 2008 dan London 2012.

“Saya hanya fokus terhadap kondisi diri sendiri dan tidak memikirkan sangat mengenai pertemuan separuh akhir.

“Kita sudah ada dua beregu layak ke final, harapnya saya turut berada di tahap sama dan mencipta sejarah buat kontinjen negara pada temasya ini,” ujar Chong Wei selepas memastikan tempat ke separuh akhir.

Laluan Chong Wei dan Lin Dan ke separuh akhir jelas berbeza apabila Chong Wei mudah membenam pemain Taiwan, Chou Tien Chen 21-9, 21-15 dalam masa 40 minit manakala Lin Dan berhempas-pulas dalam tiga set sebelum menyingkirkan K Srikanth dari India 21-6, 11-21, 21-18 selepas bertarung 64 minit.

“Permainan saya agak berkarat jadi Srikanth berjaya mengambil kesempatan. Penonton pun terlalu ghairah terutama penyokong Malaysia tapi saya sudah kalahkan semua itu,” kata Lin Dan.

Chong Wei, yang menang dua aksi terakhir ke atas Lin Dan, tidak bermasalah menewaskan bintang China itu pada kejohanan biasa namun tidak jika bertemu pada kejuaraan utama.

Selain dua final Olimpik, Chong Wei turut tumpas di tangan musuhnya itu pada final Kejohanan Dunia 2011 dan 2013 serta separuh akhir Sukan Asia Incheon dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 10:54 AM