Bukan saja berjaya mempertahankan kejuaraan dunia selepas menewaskan jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei, malah kejayaan sensasi China Chen Long pada final Kejohanan Dunia semalam juga menamatkan badi 26 tahun kegagalan pemain Tembok Besar itu untuk memenangi kejohanan di Indonesia.

Ini kerana kali terakhir pemain perseorangan lelaki China muncul juara di sini adalah menerusi Xiong Guaobao pada Terbuka Indonesia 1989.

Chen Long ternyata gembira dengan kejayaan itu sambil menggambarkan sepanjang minggu berlangsungnya Kejohanan Dunia adalah tempoh yang cukup sukar baginya.

“Memenangi kejuaraan dunia di sini sememangnya sangat menggembirakan saya apa lagi menewaskan Lee Chong Wei dengan agak mudah.

“Selepas ini, saya hanya mahu bercuti panjang,” katanya.

Chen Long juga mengakui dia bukan saja berdepan cabaran dari rakan senegara Lin Dan serta Chong Wei, malah peningkatan prestasi dipamerkan barisan pemain muda lain di kejohanan ini juga mencetuskan kebimbangan untuknya.

“Pemain seperti Kento Momota (Jepun) dan K Srikanth (India) sedang meningkat naik dan saya perlu berwaspada dengan cabaran mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 9:22 AM