PESERTA mendengar taklimat sebelum memulakan kayuhan.
PESERTA mendengar taklimat sebelum memulakan kayuhan.
PESERTA kanak-kanak yang ikut serta berkayuh bersama ibu bapa mereka.
PESERTA kanak-kanak yang ikut serta berkayuh bersama ibu bapa mereka.
GELAGAT peserta ketika memulakan kayuhan.
GELAGAT peserta ketika memulakan kayuhan.
PENYAMPAIAN duit raya kepada penghuni.
PENYAMPAIAN duit raya kepada penghuni.
PESERTA merakam gambar kenangan bersama penghuni Pertubuhan Kebajikan Peribadi Mulia.
PESERTA merakam gambar kenangan bersama penghuni Pertubuhan Kebajikan Peribadi Mulia.
Mohd Azam Shah Yaacob


Keberkatan Ramadan dimanfaatkan dengan program kebajikan demi menyerikan kehidupan insan kurang bernasib baik. Penat berpuasa pada siang hari sedikit pun tidak mematahkan semangat mereka untuk berkayuh.

Itulah dibuktikan 130 peserta Kayuhan Amal Sahur anjuran Geng Rider Kajang (GRK) terdiri daripada wakil beberapa kelab basikal sekitar Kuala Lumpur dan Selangor yang singgah bersahur bersama 60 penghuni Pertubuhan Kebajikan Peribadi Mulia Kajang, Selangor baru-baru ini.

Bertempat di padang Desa Sri Jenaris, kayuhan berkenaan dimulakan dengan bacaan doa sebelum peserta yang terdiri daripada dewasa serta generasi muda dilepaskan pada jam 3 pagi untuk berkayuh secara santai sejauh 10 kilometer (km).

Tepat jam 3.45 pagi, mereka tiba di Rumah Kebajikan Peribadi Mulia dan cukup mengharukan apabila semua penghuni yang terdiri daripada anak yatim ini sedia menanti peserta.

Wajah gembira penghuni ini yang mesra menyambut kehadiran tetamu membuatkan semua peserta rasa terharu.

Lebih terharu lagi apabila dimaklumkan bahawa 130 peserta ini antara individu pertama yang melawat rumah anak yatim berkenaan sepanjang Ramadan ini.

Penyelaras program, Azam Aziz berkata, inisiatif mengadakan kayuhan berkenaan atas dasar untuk membantu meringankan beban pengurusan rumah kebajikan yang menanggung anak yatim.

Katanya, ini tahun kedua GRK mengadakan kayuhan amal sambil bersahur dan berharap sedikit sebanyak ia mampu mengukir senyuman di wajah anak yatim berkenaan.

“Tahun sebelum ini, lokasi kita adalah rumah jagaan warga emas dan untuk tahun ini kita memilih rumah anak yatim pula.

“Matlamat kami hanya satu, iaitu melepaskan ketagihan berkayuh, mengeluarkan peluh dan beramal. Mungkin tidak seberapa tapi diharapkan dengan sumbangan yang diberikan, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka,” katanya.

Menurutnya, pemilihan rumah anak yatim itu dibuat memandangkan mereka mendapat maklumat bahawa sepanjang Ramadan, rumah berkenaan tidak menerima sebarang sumbangan.

“Harapan kami agar mereka tidak rasa tersisih. Malah, dengan sumbangan ini juga kita berharap semua penghuni berkenaan mempunyai bekalan untuk menyambut kedatangan Syawal nanti,” katanya.

Sementara itu, peserta mewakili kelab basikal GSA, Muhammad Nizam Mustapa Yahya berkata, kayuhan berkenaan memberi kesan mendalam pada dirinya terutama dalam mensyukuri nikmat yang ada.

Malah, ia menjadi peringatan kepada dirinya untuk saling membantu golongan yang kurang bernasib baik.

“Pengalaman bersahur bersama anak-anak yatim membolehkan kita menyelami hati dan merasai kekurangan yang mereka hadapi.

“Paling utama, kita harapkan penghuni ini terus gembira bahawa masih ada insan yang prihatin dengan nasib mereka dan pada masa yang sama meringankan sedikit sebanyak beban perbelanjaan untuk menyambut Syawal yang bakal menjelma,” katanya.

Peserta mewakili Bangau Rider Cycling Team (BRCT), Mohd Faizal Amin turut berkongsi pengalaman menyertai kayuhan amal berkenaan yang disifatkan sebagai cara terbaik membentuk budaya murni.

“Saya berbangga dapat menyertai kayuhan ini kerana ia menjadi bukti bahawa, minat dalam sukan berbasikal boleh dikembangkan menjadi aktiviti amal.

“Ia tidak saja membantu meringankan beban golongan kurang bernasib baik, sebaliknya membantu kita menjana saham akhirat,” katanya.

Sementara itu, wakil kelab G3K, Zainuddin K Abdu berkata seramai 30 ahli kelab itu menyertai kayuhan berkenaan.

Menurutnya, mereka bersyukur berpeluang menyertai program kayuhan amal ini.

“Terima kasih kepada penganjur yang menjayakan program ini dengan penuh dedikasi, amanah serta mementingkan keselamatan penunggang. Semoga program sebegini menjadi acara tahunan sambil beramal,” katanya.

Dalam kayuhan berkenaan, beberapa barangan keperluan seperti beras, gula dan minyak masak diserahkan kepada pengurusan Rumah Kebajikan Peribadi Mulia menerusi sumbangan peserta dan syarikat tertentu.

Selain itu, anak yatim juga menerima duit raya sebagai tanda prihatin.

Kayuhan berkenaan juga mendapat kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang yang mengiringi peserta untuk sampai ke destinasi dengan selamat selain penyertaan dari YZ Gym, Litrak, Sekolah Memandu Sungai Kantan, G3K, GSA, Bangau Rider Cycling Team (BRCT), Pinky Rider, BTHO Cycling Club, Geng Weekday Rider GWR, I-Cycle, Base Family Malaysia, KS Rider, Harian Metro Cycling Club dan Senawang Cycling Club.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2016 @ 5:06 AM