AKSI peserta dilaluan berselekoh tajam.
AKSI peserta dilaluan berselekoh tajam.
GELAGAT peserta ketika menempuh satu laluan.
GELAGAT peserta ketika menempuh satu laluan.
SEBAHAGIAN pelumba bergambar kenangan bersama maskot.
SEBAHAGIAN pelumba bergambar kenangan bersama maskot.
 ANTARA pemenang Shah Alam Enduride 2015.
ANTARA pemenang Shah Alam Enduride 2015.
Oleh Mohd Azam Shah Yaacob


Laluan berbukit dan berliku sejauh 160 kilometer yang perlu ditempuh dalam Shah Alam Enduride 2015 bukan halangan besar peminat sukan basikal kategori road bike apabila rata-ratanya berjaya menamatkan kayuhan tanpa masalah.

Biarpun berkayuh dalam cuaca panas, persaingan dalam kejohanan yang memasuki tahun kedua itu sengit berikutan turut disertai peserta kategori ‘profesional’ dan ‘amatur’.

Dilepaskan oleh Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, kayuhan bermula di Dataran Kemerdekaan Shah Alam jam 7.30 pagi itu memerlukan peserta berkayuh melalui beberapa kawasan seperti Bukit Jelutong, Subang Bestari, Sungai Buloh, Bukit Rahman Putra, Kundang, Ijok, Bandar Tasik Puteri, Puncak Alam, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) sebelum kembali ke Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Aksi sengit kayuhan bermula sebaik peserta tiba di kawasan Bukit Rahman Putra, seterusnya mewujudkan beberapa kelompok peloton yang pada awalnya bergerak dalam satu kumpulan peloton besar.

Sebaik tiba di jalan perkampungan di Kundang, lima peserta melakukan pecutan pemisah atau ‘breakaway’, seterusnya mewujudkan kelompok pendahulu.

Aksi kayuhan bertambah sengit sebaik memasuki jarak kayuhan sejauh 56 kilometer apabila dua peserta dari kelompok kedua berjaya merapatkan jurang dan berada dalam kelompok pendahulu.

Selepas 72 kilometer kayuhan, aksi persaingan antara peserta lebih sengit apabila melalui kawasan landai di laluan sempit dan berliku di Ijok memperlihatkan beberapa aksi kejar mengejar umpama perlumbaan Paris-Roubaix.

Malah, dalam perlumbaan kali ini juga, peserta bukan saja diuji dengan kemampuan fizikal dan mental sebalik kemampuan kawalan berbasikal menerusi laluan ‘dragonback’.

Di laluan ini, peserta perlu menempuh laluan berbukit dan beralun umpama belakang naga yang menguji tahap maksimum kayuhan peserta.

Laluan ini saja cukup membuatkan segelintir peserta kehilangan stamina dan terpaksa menolak basikal apabila menempuh laluan berbukit di kilometer 92.

Bagaimanapun, sikap peserta dipuji apabila tetap berusaha menghabiskan kayuhan melalui Puncak Perdana ke TTDI Jaya dan kembali ke Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Peserta pertama berjaya sampai sekitar 10.30 pagi dan diikuti peserta lain yang rata-rata menamatkan kayuhan sekitar empat jam yang pastinya pengalaman kayuhan yang mencabar.

Peserta Afiq Munsardin, 17, dari Shah Alam berkata, perlumbaan itu adalah acara kayuhan sejauh 160km yang pertama disertainya.

Dia bercita-cita menjadi pelumba basikal berkata, kayuhan berkenaan menguji fizikal dan mental dan memperkuatkan lagi skil kayuhannya.

“ Cita-cita saya menjadi pelumba basikal. Kayuhan seperti ini melatih saya memperbaiki mutu kayuhan dengan laluan mencabar.

“Paling utama, saya dapat mempelajari rentak dan teknik kayuhan pelumba lebih berpengalaman dan profesional,” katanya yang mewakili kelab Amaniz Cycling Team dari Shah Alam.

Selain itu, Shah Alam Enduride 2015 ini turut disertai peminat sukan berbasikal dari New Zealand, John Sole, 59, yang berkhidmat di syarikat informasi teknologi di Cyberjaya.

Sole yang kali pertama menyertai acara sebegini di negara ini sering berkayuh bersama rakan di Shah Alam.

“Laluan disediakan sangat mencabar keupayaan diri. Namun saya gemar berkayuh dan menikmati pemandangan di sepanjang laluan dan berjaya menamatkan kayuah dalam tempoh empat jam,” katanya.

Seorang lagi peserta, Nur Azrenna Ahmad Jumry, 18, yang juga atlet berbasikal junior kebangsaan mengakui kayuhan berkenaan sangat mencabar dan memberi pengalaman berharga dalam mempertajamkan skil kayuhan.

“Walaupun sekadar acara kayuhan, laluan ditempuhi peserta lebih mencabar berbanding perlumbaan yang pernah saya sertai.

“Bagi saya, ia medan latihan mempersiapkan diri menghadapi kejohanan yang bakal disertai kelak,” katanya yang berasal dari Sarawak.

Shah Alam Enduride 2015 mempertandingkan lapan kategori, antaranya Lelaki Veteran (56 tahun ke atas), Lelaki Master (36 hingga 45 tahun), Lelaki Senior Master (46 hingga 55 tahun), Terbuka Lelaki (35 tahun ke bawah), Master Wanita (36 tahun dan ke atas), Terbuka Wanita (35 tahun ke bawah), Lelaki Junior (bawah 18 tahun) dan Piala Pasukan Keseluruhan Terbaik.

Dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama perancang acara berbasikal, Pedal Explorer, aktiviti ini antara langkah kerajaan negeri untuk menjadikan sukan sebagai budaya dan gaya hidup masyarakat untuk kekal sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 5:01 AM