KAYUHAN Sahur YCC program terpuji bentuk komuniti positif.
KAYUHAN Sahur YCC program terpuji bentuk komuniti positif.
GELAGAT peserta ketika bersahur di Handlebar Cafe.
GELAGAT peserta ketika bersahur di Handlebar Cafe.
Adam Salleh & Mohd Azam Shah Yaacob


Siang berpuasa, malam bertarawih, ikutkan tidak cukup kudrat untuk mengayuh basikal pada sebelah malam. Namun, demi ukhuwah dan menyemai kebaikan, itulah diterjemahkan kira-kira 70 peserta Kayuhan Sahur anjuran Ya’afur Cycling Club (YCC) baru-baru ini.

Berpangakalan di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor, menariknya pada kayuhan ini, peserta tidak sekadar melepaskan ‘ketagihan’ berkayuh, mengeluarkan peluh atau merapatkan hubungan silaturahim yang terbina, sebaliknya dapat menambah amalan.

Mana tidaknya, sebaik berjaya menamatkan kayuhan dan bersama-sama menjayakan program bersahur, peserta mengutip sumbangan untuk didermakan kepada seorang rakan berbasikal mereka iaitu Md Shazalee Md Radzi daripada Elbee Cyling Team (ECT) yang terlantar di Hospital Sungai Buloh akibat terbabit kemalangan jalan raya.

Peserta mula berkayuh pada jam 11.30 malam menuju ke Bukit Melawati, Kuala Selangor dengan jumlah 30 peserta.

Biarpun kayuhan berkonsepkan santai, ia cukup menarik berikutan sambil berkayuh mereka menikmati udara sejuk bulan Ramadan dalam keheningan malam sambil bersembang atas basikal.

Lebih menarik lagi, sepanjang menuju ke destinasi di Bukit Melawati, jumlah komuniti kayuhan berkenaan semakin bertambah apabila disertai ahli kelab basikal lain seramai 20 orang yang menunggu di Ijok.

Malah, sebaik sampai di Kuala Selangor, jumlah peserta terus bertambah hingga 70 orang apabila disertai oleh 30 ahli kelab basikal lain yang sedia menunggu menjadikan suasana kayuhan bertambah ceria.

Presiden YCC, Zainol Abidin Nayan, 66, berkata, kayuhan berkenaan kali pertama diadakan dengan matlamat awal untuk merapatkan hubungan dalam kalangan peminat sukan berbasikal termasuk di lokasi yang dilalui.

“Alhamdulillah, kayuhan ini berjaya kita laksanakan tanpa masalah dan paling utama, kita dapat mengutip sedikit sumbangan bagi meringankan beban Md Shazalee.

“Nilai sumbangan ini kita tidak tahu kerana semuanya dimasukkan ke dalam satu bekas sebelum diserahkan kepada keluarga Md Shazalee,” katanya.

Pengurus Program Kayuhan, Normazura Mohd Nasri, 40, berkata sekalipun perancangan Kayuhan Sahur singkat, komitmen diberi setiap peserta tidak kira lelaki dan wanita bahkan peserta berusia 15 tahun mengukuhkan semangat untuk YCC

terus aktif.

“Awalnya saya risau jika penyertaan kurang, maklum saja kita dalam bulan Ramadan. Syukurlah komitmen diberi peserta tanpa berbelah bagi, dan lebih mengharukan saya, kami sama-sama mengutip dana untuk rakan walau berlainan kelab basikal,” katanya.

Sementara itu, peserta Shariffuddin Shahpudin, 45, berkata, dia sangat seronok dapat menyertai kayuhan berkenaan yang tidak saja menyihatkan badan, sebaliknya baik untuk membentuk komuniti yang positif.

“Ini kali pertama saya menyertai kayuhan sebegini dan rasanya ia medan paling baik untuk seseorang itu menyerap elemen positif dalam diri.

“Ini kerana, melalui kayuhan sahur ini saja peserta tidak sekadar mengeluarkan peluh, sebaliknya menambah kenalan baru, merapatkan hubungan antara satu sama lain termasuk dalam kalangan ahli keluarga, membantu individu yang memerlukan bantuan dan paling utama mendidik generasi muda mengenai aktiviti sihat dalam aspek fizikal dan kerohanian,” katanya.

Dalam kayuhan berkenaan, peserta melalui jarak keseluruhan sejauh 70 kilometer membabitkan perjalanan dari Bandar Tasik Puteri ke Bukit Melawati sebelum berpatah semula ke Bandar Tasik Puteri sebagai lokasi penamat kayuhan.

Seramai 70 peserta yang mewakili 16 kelab basikal menyertai kayuhan ini seperti daripada YCC, Kota Puteri Cyclers, Run Bike Run, LEMAO, Kuala Selangor Cycling Club, MTB Frenz, Geng Sempoi Jer, Foldies Kuala Selangor, Tanjung Karang Cyclers, BLOSSOM, Jom Kayuh Santai, Desiran Cycling Club, The Handlebar Cafe, BTP Superbikers dan Selayang Sacred Cyclers.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2016 @ 5:02 AM