Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus bergelut untuk mencari kemenangan selepas sekadar seri 1-1 dengan Lions XII dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Biarpun beberapa kali menguji benteng pelawat menerusi gandingan Hairuddin Omar dan Abdulafees Abdul Salam, percubaan mereka tidak menepati sasaran.

Percubaan terbaik tuan rumah adalah pada minit ke-24 tetapi sepakan Abdulafees yang hanya berdepan penjaga gol, Izwan Mahmud tepat ke dakapannya.

Ketika anak buah penolong jurulatih ATM, Azhar Abdullah berusaha memburu gol, pelawat bangkit menerusi serangan balas.

Sepakan deras Muhd Hafiz Abu Sujad dalam jarak kira-kira 20 meter dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol ATM, Syed Adney Hussein, untuk meletakkan LionsXII di depan pada minit ke-41.

Tersentak dengan jaringan itu, pemain ATM cuba melakukan serangan balas tetapi usaha mereka tidak berhasil dan separuh masa pertama tamat dengan kelebihan memihak skuad bimbingan Fandi Ahmad.

Sebaik aksi bersambung, ATM cuba memperkemaskan jentera serangan tetapi bola lorongan Affize Faizal Mamat dari sebelah tepi pada minit ke-49, gagal disambar kemas Hairuddin.

Usaha mereka mendapatkan gol bagaimanapun akhirnya berhasil apabila mendapat sepakan penalti selepas Jeery Palacios Suazo dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-56.

Abdulafees kemas menyempurnakan sepakan ituk untuk menyamakan kedudukan.

Pemain ATM menguasai pada 15 minit terakhir dalam usaha mencari gol kemenangan namun kedudukan seri itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 1:04 AM