Oleh Azizan Hashim

Ipoh: Jurulatih Perak Datuk M Karathu menghadapi dilema bagi menghadapi T-Team di pusingan ketiga Piala FA di Stadium Perak, malam ini berikutan keadaan semasa pasukan ketika ini.

Selain menghadapi tugas menyemarakkan kembali semangat pasukan yang merudum berikutan kekalahan 1-3 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di gelanggang sendiri, Sabtu lalu, Karathu turut mengalami masalah penggantungan serta kecederaan ramai pemain.

Tonggak benteng Mohd Syazwan Roslan terpaksa diketepikan gara-gara mengutip kad merah ketika menentang The Cops manakala kapten Mohd Nasir Basharuddin mengalami kecederaan.

“Saya kekurangan pemain ketika ini. Syazwan sudah tentu tidak boleh bermain kerana penggantungan manakala Nasir dan Chad masih cedera.

“Malah, beberapa pemain yang berada dalam senarai 18 pemain ketika menentang PDRM juga belum cukup cergas sepenuhnya untuk diturunkan.

“Saya terpaksa meminjam seorang pemain skuad Piala Presiden sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Namun, kebimbangan besar jurulatih itu ialah moral pasukan terjejas berikutan kekalahan di tangan Sang Saka Biru itu.

“Saya berharap pemain segera lupakan keperitan kekalahan itu dan bangkit dalam pertemuan dengan T Team nanti.

“Tiada guna dikenang kekalahan itu. Sebaliknya pemain perlu memberi tumpuan kepada Piala FA ini.

“Kami memiliki peluang cerah untuk mara jauh dalam kejohanan ini jika berjaya melepasi halangan ini,” katanya.

Namun, pada masa sama, Karathu sedar mempunyai masalah ketumpulan jentera serangan seperti ketika menentang PDRM.

Malah, katanya dalam usaha memastikan penyerang utama, Namkung Woong dapat beraksi esok, pemain Korea Selatan itu terpaksa dikeluarkan kerana bimbang ditimpa kecederaan.

“Saya akan mencari jalan untuk mengembalikan kemampuan jentera kami di bahagian serangan. T-Team bukan calang-calang pasukan.

“Mereka juga semakin meningkat dan sudah menemui momentum, kami perlu berhati-hati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:25 AM