PEMAIN NSFC menjalani latihan menjelang perlawanan menentang TFC. FOTO Negeri Sembilan Football Club
PEMAIN NSFC menjalani latihan menjelang perlawanan menentang TFC. FOTO Negeri Sembilan Football Club
Mohd Amin Jalil


Seremban: Gustavo Almeira dan Yashir Pinto hampir pasti menjadi taruhan utama Negeri Sembilan FC (NSFC) bagi mengemudi bahagian serangan pasukan itu dalam mendepani cabaran Terengganu FC (TFC), pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Ini berikutan, penyerang utama mereka, Matheus Alves dilaporkan tidak dapat beraksi kerana penggantungan.

Ketua jurulatih, K Devan mengesahkan khidmat Alves tidak dapat dimanfaatkan dan beliau terpaksa melakukan perubahan dari segi formasi dan taktikal permainan bagi memastikan skuad bimbingannya dapat menyekat kemaraan Terengganu memperoleh kemenangan.

"Kita terpaksa melakukan pertukaran pemain kerana penggantungan membabitkan Alves yang tidak dapat beraksi pada perlawanan malam esok.

"Namun begitu, pemain sedia ada seperti Gustavo dan Sean Eugene boleh dimanfaatkan untuk berada dalam pasukan, tapi setakat ini saya sedang meneliti antara mereka itu yang akan diturunkan," katanya di sini, hari ini.

Devan bagaimanapun berkata, situasi pasukan ketika ini amat memberangsangkan terutama dari segi tahap kecergasan pemain, malah semangat serta fokus mereka juga amat baik hasil persiapan rapi yang kita lakukan.

Beliau yang juga pengurus pasukan menegaskan situasi itu diharap akan dapat membantu pasukannya melakar kemenangan selepas tewas kepada Sabah Fc pada aksi di gelanggang sama sebelum ini.

"Memang agak lama kita tunggu perlawanan menentang Terengganu ini selepas berakhir aksi persahabatan Negeri Sembilan menentang kelab dari Thailand, Buriram United.

"Saya yakin dan percaya pengalaman menentang kelab terbaik Thailand itu akan memberi impak positif dan sedikit sebanyak beri kesan dari segi semangat serta keyakinan diri pemain untuk berdepan Terengganu ini," katanya.

Justeru, Devan mahu anak buahnya memberikan komitmen 100 peratus dalam perlawanan itu nanti untuk memastikan tiga mata tidak terlepas kepada skuad bimbingan Nafuzi Zain.

"Pasukan perlu menang perlawanan dengan Terengganu ini untuk memastikan kedudukan pasukan dalam kelompok atas carta Liga Super tidak tergugat.

"Saya berharap pemain tampilkan persembahan mantap dan menggunakan peluang terbaik kali ini untuk mendapatkan kemenangan," katanya yang mengharapkan penyokong skuad Hobin Jang Hobin terus membanjiri stadium bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 10:04 PM