MITSUI Oulet Park KLIA Sepang yang baru dirasmikan.
MITSUI Oulet Park KLIA Sepang yang baru dirasmikan.
Oleh Sharifah Norfaezah Wan Ahmad Makki Mashor


Sepang: MFMA Development Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Mitsui Fudosan Co Ltd (Mitsui Fudosan) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama yang berpotensi menyumbang kepada perolehan kumpulan dalam segmen runcitan produk premium di Asia Tenggara dalam tempoh jangka panjang.

Pengarahnya, Tatsuro Irino berkata, pihaknya melihat potensi itu berdasarkan populasi pembeli ketika ini yang semakin meningkat di Malaysia.

“Kita juga melihat perkembangan perniagaan yang ada di negara ini dan tidak menafikan akan menambah pelaburan jika ada peluang yang bersesuaian.

“Buat masa ini, fasa pertama Mitsui Outlet Park KLIA Sepang (MOP KLIA) yang dibina dan diuruskan entiti berkenaan sudah siap dengan pelaburan sebanyak RM300 juta dan dijangka mampu menjadi hab transit dan destinasi beli-belah bagi 27 juta pelanggan asing dan tempatan di Asia Tenggara,” katanya pada sidang media selepas gedung beli-
belah berkenaan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di sini, kelmarin.

Beliau berkata, MOP KLIA bakal siap sepenuhnya pada 2021 yang akan didahului oleh penyiapan fasa kedua pada 2018 dan berdasarkan potensi sedia ada, pihaknya akan terus menambah baik pelebaran operasi seiring dengan permintaan membabitkan 50 peratus pembeli tempatan dan selebihnya asing.

“Buat masa ini, kita tidak mempunyai jumlah pelaburan spesifik bagi Malaysia walaupun kita sudah memperuntukkan bajet pelebaran antarabangsa, namun kita akan terus mengintai potensi dari semasa ke semasa,” katanya.

Ketika ini, MOP KLIA yang berkeluasan 180,000 kaki persegi mempunyai 127 ruang kedai dan dijangka mencecah 250 ruang pamer sebaik saja fasa ketiga siap.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 6:37 AM