KHALID
KHALID
Nabil Basaruddin dan Farah Adilla

Kuala Lumpur: Kehadiran pelabur asing di pembangunan bersepadu projek ikonik, Bukit Bintang City Centre (BBCC) membuktikan keyakinan komuniti perniagaan luar untuk melabur di Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata, antaranya termasuk pembinaan komponen utama BBCC dari pelabur Jepun dengan projek Mitsui Shopping Park LaLaport Kuala Lumpur bernilai RM1.6 bilion dan dijangka siap pada suku keempat 2020.

Beliau berkata, pihaknya turut kagum dengan keseluruhan pembinaan projek ikonik BBCC yang merangkumi kawasan seluas kira-kira tujuh hektar dengan keseluruhan kawasan binaan 6.7 juta kaki persegi.

“Kemasukan pelabur asing dalam projek BBCC membuktikan keyakinan mereka terhadap kemampuan Malaysia terutama di Kuala Lumpur.

“Kementerian menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memberi kerjasama penuh dengan syarikat pemaju BBCC bagi memastikan mereka ini dapat menyelesaikan projek mengikut jadual pembinaan yang ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas majlis lawatan tapak projek ikonik BBCC di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Eco World Development Tan Sri Liew Kee Sin.

Konsortium BBCC Development memeterai perjanjian usaha sama dengan konglomerat hartanah terbesar Jepun, Mitsui Fudosan Asia bagi pembentukan, pemilikan, pengurusan dan pengoperasian sebuah syarikat usaha sama (JVCo) bagi membangun serta menguruskan pusat beli-belah.

Perjanjian itu menyaksikan Mitsui Fudosan Asia memiliki 50 peratus pegangan saham, manakala bakinya dimiliki pemegang saham BBCC Development Sdn Bhd yang terdiri daripada UDA Holdings Bhd, Eco World Development Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Selain Mitsui Shopping Park LaLaport Kuala Lumpur, BBCC turut menerima kehadiran hotel Canopy by Hilton yang pertama di Asia Tenggara sebagai sebahagian daripada pembangunan bersepadu itu.

Malah, BBCC turut memeterai perjanjian dengan Zepp Hall Network Inc (Zepp Hall), anak syarikat kepada Sony Music Entertainment Japan bagi membina dewan konsert di bawah jenama Zepp untuk menjadi hab hiburan dalam projek pembinaan bercampur bernilai RM100 juta.

Sementara itu, Khalid berkata, kerajaan komited untuk melaksanakan pentadbiran yang lebih cekap dan telus supaya ia dapat memberi manfaat kepada pelbagai pihak khususnya komuniti perniagaan.

Katanya, Malaysia selama ini mempunyai banyak perancangan yang bagus namun pelaksanaannya adalah sebaliknya bagi sesetengah projek yang dijalankan.

“Jadi, kerajaan pada hari ini mahu singkirkan intipati rasuah dan salah guna kuasa dalam hal ini kerana ia sememangnya mempunyai banyak pengaruh serta kesan kepada projek dan pembangunan utama negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 10:10 AM