Kuala Lumpur: Ketua pasukan Pilihan Malaysia, Razman Roslan berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh rakannya ketika bertemu Liverpool pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, kelmarin.

Menurutnya, seri 1-1 adalah keputusan membanggakan walaupun mereka mempunyai masa yang singkat untuk berlatih bersama dan mempersiapkan diri selepas kembali dari cuti Hari Raya Aidilfitri.

“Sebelum itu kami rasa sedikit sukar kerana perlu cepat memahami antara satu sama lain, namun permainan mantap dapat dipersembahkan pada perlawanan malam ini (kelmarin),” katanya.

Jelasnya, komitmen yang diberikan rakan sepasukan membolehkan mereka berjaya mengikat kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu yang pernah menang 6-3 pada 2011.

“Ia satu keputusan yang baik. Kami mengikut segala perancangan jurulatih (Dollah Salleh) dan apa yang diajarnya semasa latihan.

“Kerjasama sepasukan adalah kunci kejayaan kami berjaya mengikat Liverpool,” kata ketua pasukan Pahang itu.

Bekas pemain Selangor itu berkata, mereka tidak fikir mengenai tanggapan peminat yang mengatakan Pilihan Malaysia adalah pasukan belasahan tetapi hanya turun padang dan mahu mempamerkan aksi terbaik.

“Diharapkan pengalaman perlawanan malam ini bersama bintang-bintang dunia akan menjadi satu pelajaran berguna buat kami dan dapat digunakan untuk meningkatkan prestasi diri bagi aksi seterusnya.

“Bukan kerana kehadiran saya dalam pasukan menyebabkan kami berjaya mencatat keputusan seri tetapi komitmen semua pemain yang bersungguh-sungguh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2015 @ 5:04 AM