PEMAIN Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue Sturmer Dos Reis (kiri) diasak pemain Melaka United FC, Giovane Gomes Da Silva pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia. FOTO Eizairi Shamsudin
PEMAIN Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue Sturmer Dos Reis (kiri) diasak pemain Melaka United FC, Giovane Gomes Da Silva pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia. FOTO Eizairi Shamsudin
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selain perlu mencari kemenangan di Stadium Hang Jebat esok, pemain Kuala Lumpur City FC (KL City) turut berdepan cabaran lain apabila bertemu Melaka United dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia nanti.

Cabaran itu adalah masalah kepenatan yang nyata kini menghantui skuad bimbingan Bojan Hodak.

Jelas penjaring gol penyamaan ketika mengikat Melaka 1-1 di Cheras Isnin lalu, Zhafri Yahya, keputusan seri pada aksi pertama itu disebabkan oleh isu kepenatan.

Katanya, rakan sepasukan gagal mengikut perancangan diatur oleh pengendali pasukan yang menyaksikan skuad 'The Cits Boys' ketinggalan pada awal permainan sebelum bangkit mengikat kedudukan.

Bagaimanapun, dia dan rakan-rakan lain bertekad untuk mempamerkan prestasi yang lebih meyakinkan dalam perlawanan timbal balik itu sekali gus meraih tiket ke final Piala Malaysia.

"Di bawah kendalian Bojan Hodak, saya lihat bukan saya sahaja malah prestasi pemain lain juga banyak dah meningkat berbanding sebelum ini dan beliau tahu kelebihan saya untuk letak saya di posisi terbaik.

"Untuk perlawanan Isnin (separuh akhir pertama), mungkin sedikit kepenatan menyebabkan pemain beraksi tidak seperti biasa sebab kita bermula daripada saingan liga sehingga Piala Malaysia, jurang hari untuk rehat tidak jauh.

"Tetapi, kita tidak akan mengalah dan akan berjuang habis-habisan di tempat lawan nanti untuk cuba mara ke final", katanya.

Untuk rekod, kali terakhir KL merasai nikmat selaku juara Piala Malaysia adalah pada lewat 1980-an dengan dibarisi pemain ternama seperti legenda Singapura, Fandi Ahmad, K Kannan, Subradon Aziz, Malek Awab, Saidin Osman dan ramai lagi.

Kehadiran bintang-bintang itu menyaksikan skuad Warga Kota itu mendominasi trofi tertua di Asia itu selama tiga musim berturut-turut dari 1987, 1988 dan 1989.

Begitupun selepas zaman keemasan itu, pasukan KL gagal memasuki perlawanan akhir dan kini pemain Hodak berpeluang untuk menamatkan badi final Piala Malaysia selama 22 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 9:11 PM