Aksi Abdul Malik Mat Ariff (tengah) ketika berdepan Penang FC. FOTO Sri Pahang FC .
Aksi Abdul Malik Mat Ariff (tengah) ketika berdepan Penang FC. FOTO Sri Pahang FC .
Asrol Awang


Kuantan: Penyerang Sri Pahang FC, Abdul Malik Mat Ariff teruja apabila skuad itu berjaya mengutip tiga mata ketika menewaskan Penang FC, 4-0, kelmarin.

Lebih menggembirakan, pemain berasal dari Kuantan, Pahang itu berjaya menjaringkan dua gol termasuk gol pendahuluan.

"Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan kerana turut sama membantu mencapai misi kemenangan ketika pasukan amat memerlukan tiga mata.

"Begitu juga kepercayaan yang diberikan oleh ketua jurulatih (Dollah Salleh) bagi mengetuai jentera serangan bersama Kenny Athiu.

"Dengan dua gol ini menambah lagi keyakinan saya untuk beraksi lebih baik pada baki tiga perlawanan selepas ini," katanya.

Abdul Malik yang menjaringkan dua gol dalam saingan Liga Super musim ini mahu meneruskan sentuhan berbisa apabila bertemu sekali lagi Penang FC, Rabu ini.

Sementara itu, Dollah memuji komitmen penjaring itu yang turut membuka ruang kepada pemain lain membolosi gawang lawan.

Katanya, kelincahan Abdul Malik bersama pemain tengah memastikan kemenangan berpihak kepada Sri pahang selepas mengalami dua kekalahan sebelum ini.

Selepas tiga perlawanan dalam Kumpulan A, skuad Tok Gajah mengutip tiga mata manakala Kuala Lumpur (KL) City dengan tujuh mata, Sarawak United (enam) manakala Penang FC (satu).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 2:27 PM