PEMAIN Pahang, Faisal ketika menjalani ujian calitan. FOTO Ihsan Pahang FA
PEMAIN Pahang, Faisal ketika menjalani ujian calitan. FOTO Ihsan Pahang FA
Asrol Awang


PEMAIN tengah Pahang, Faisal Abdul Halim mengakui tempoh rehat panjang membuatkan dia tidak sabar untuk kembali menjalani latihan bersama rakan sepasukan.

Faisal atau lebih dikenali sebagai 'Mickey' berkata, tempoh tiga bulan menjalani latihan bersendirian memerlukan komitmen dan semangat baharu untuk kembali berada pada prestasi terbaik.

"Sebaik semua pasukan dibenarkan kembali menjalani latihan bersama pasukan, saya sememangnya teruja untuk bersama dalam pasukan.

"Tempoh tiga bulan ternyata memberi motivasi kepada saya untuk lebih bersemangat seperti yang dipersembahkan pada awal musim ini.

"Biarpun memerlukan tempoh untuk kembali serasi bersama rakan sepasukan tetapi saya percaya ia tidak memerlukan tempoh yang lama.

"Pada masa sama, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami saling berhubung untuk sentiasa bersedia sebaik dibenarkan berlatih bersama," katanya.

Ditanya harapan sebelum saingan Liga M bermula nanti, Faisal berkata, misi utama dia bersama rakan ialah untuk meletakkan skuad Tok Gajah pada prestasi dan kedudukan terbaik.

Katanya, prestasi pasukan sepanjang empat perlawanan Liga Super lalu diharap dapat diteruskan dengan keputusan yang lebih baik.

"Sebagai pemain pula, saya harap dapat kekal menjadi pilihan jurultih (Dollah Salleh) selaku pemain utama.

"Namun, jika mahu berada di dalam senarai kesebelasan utama, saya perlu buktikan kepada jurulatih sebaik Pahang dibenarkan berlatih," katanya.

Semalam, semua pemain Pahang termasuk barisan pegawai dan jurulatih selesai menjalani ujian calitan sebagai persediaan untuk kembali berlatih selepas lebih tiga bulan Liga Malaysia (Liga M) tertangguh akibat penularan wabak Covid-19.

Difahamkan, skuad Tok Gajah hanya menunggu keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum kembali menjalani latihan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 3:35 PM