Oleh Ardyhansah Amat

 

Kota Kinabalu: Perintah berkurung di enam daerah di pantai Timur Sabah bakal memasuki fasa ke-23 apabila dilanjutkan bermula esok sehingga 5 Ogos depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, keputusan itu dibuat selepas perintah berkurung fasa ke-22 tamat hari ini.

"Berdasarkan maklumat yang diperolehi, masih terdapat cubaan penjenayah rentas sempadan seperti kumpulan Abu Sayaf memasuki negara ini untuk melakukan jenayah terutamanya penculikan bagi mendapatkan wang tebusan.

"Justeru, pelanjutan perintah berkurung ini penting bagi memudahkan kawalan keselamatan dilakukan di kawasan perairan pantai Timur di negeri ini.

"Ia bukan saja dapat mengekang kemasukan penculik dari negara jiran itu untuk masuk ke sini, sebaliknya turut membantu mengurangkan aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi dan perdagangan manusia berlaku," katanya di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2015 @ 10:07 AM