Oleh Ardyhansah Amat

Kota Kinabalu: Perintah berkurung di Pantai Timur Sabah bakal memasuki fasa ke-25 selepas dilanjutkan bermula 6 hingga 21 Ogos depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, keputusan itu bagi memastikan keselamatan perairan di kawasan itu terpelihara selain kesejahteraan penduduk dan pelancong asing terjamin.

"Ia bagi membolehkan keadaan di sekitar Pantai Timur negeri lebih terkawal selain memudahkan tugas penguatkuasaan dilakukan terutama memantau pergerakan bot yang cuba menceroboh atau melakukan jenayah rentas sempadan.

"Dalam masa sama, lanjutan perintah ini dapat mengatasi penyeludupan dan jenayah rentas sempadan termasuk penculikan yang berlaku di Pantai Timur negeri ini," katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Perintah berkurung mula diperkenalkan pada 19 Julai tahun lalu membabitkan jarak tiga batu nautika dari pantai membabitkan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan dan Sandakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 8:51 AM