KUDA turut jadi haiwan terabai gara-gara kewujudan kandang kuda tanpa panduan.
KUDA turut jadi haiwan terabai gara-gara kewujudan kandang kuda tanpa panduan.
Muhamaad Razis Ismail


Isu pengabaian kebajikan haiwan peliharaan di negara ini dilihat masih berlaku biarpun pelbagai usaha dilakukan.

Selain kucing terabai yang sering didedahkan, kuda turut tidak terlepas daripada menjadi mangsa pengabaian pemiliknya.

Baru-baru ini Persatuan Haiwan Malaysia (PHM) mendedahkan kes pengabaian membabitkan mamalia ini termasuk dilihat dibiarkan bebas berkeliaran dan makan sampah.

Malah, pihak PHM turut merekodkan hampir 10 kuda terbiar sejak enam bulan terakhir ini.

Menyedari peningkatan kes pengabaian kebajikan kuda, PHM mengambil inisiatif menubuhkan Animal Malaysia Equine Centre (AMEC).

Pengarah AMEC, Kapten Bersekutu ( PA ) Nur Syuhada Kamaruddin berkata, agensi itu ditubuhkan berikutan situasi kebajikan kuda di negara ini yang sudah mula diabaikan.

Katanya, bagi memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan kebajikan kuda, pihaknya mengambil inisiatif menubuhkan AMEC.

"Kini jumlah kandang kuda dilihat semakin meningkat namun ada yang beroperasi tanpa panduan dan kemahiran sehingga kebajikan kuda diabaikan.

"Malah enam bulan terakhir sejak hujung tahun lalu, kami dapati kejadian kuda terbiar di negara ini semakin meningkat.

PROGRAM kesedaran menyasarkan pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak.
PROGRAM kesedaran menyasarkan pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak.

ANTARA program kesedaran yang dijalankan di Universiti Malaysia Terengganu baru-baru ini
ANTARA program kesedaran yang dijalankan di Universiti Malaysia Terengganu baru-baru ini

"Justeru itu, AMEC ditubuhkan untuk memperkasa kesedaran, pendidikan, keselamatan dan kebajikan kuda di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran AMEC yang dirasmikan Presiden PHM, Arie Dwi Andika bersama Presiden Ikhwan Stud Farm dan Rangkaian Pembina Ukuwah, Muhammad Adib At-Tamimi.

Dalam majlis itu, Muhammad Adib turut dilantik sebagai Pegawai Kehormat AMEC kerana pengalamannya yang luas dalam sukan berkuda dan penjagaan kuda.

Mengulas lanjut, bagi menyebarkan kesedaran berkenaan kebajikan kuda, pihak AMEC mengadakan ceramah dan pameran di seluruh negara di sekolah dan universiti.

"Kami menyasarkan ingin memberi kesedaran melalui pendidikan khususnya sekolah, universiti dan masyarakat umum. Untuk permulaan kami akan bergerak ke sekolah di sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan.

"Selain itu kami turut menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia sebagai salah satu langkah untuk melahirkan lebih ramai pemain industri ekuin yang bertauliah

"Pada setiap bulan, kami turut menyediakan khidmat rundingan secara percuma kepada penggiat ekuin ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 6:46 AM