Oleh Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu: Perintah berkurung di enam daerah di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dilanjutkan bagi fasa ke-26 mulai malam tadi hingga 6 September ini.

Perintah berkurung ini melarang mana-mana orang daripada memasuki kawasan yang diisytiharkan mulai 7 petang hingga 5 pagi.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, keputusan ini dibuat berdasarkan beberapa faktor antaranya maklumat mendedahkan beberapa ancaman daripada penculik untuk tebusan (KFR) dan juga kumpulan Abu Sayyaf yang masih cuba menceroboh untuk melakukan jenayah rentas sempadan seperti penculikan dan samun bersenjata.

"Selain itu, memudahkan penguatkuasaan, memantau segala pergerakkan bot yang cuba menceroboh untuk melakukan jenayah rentas sempadan dan menyekat aktiviti penyeludupan manusia, dadah serta senjata api.

"Kita juga mendapat kerjasama oleh pengusaha pusat peranginan dan aktiviti-perikanan dalam menjamin keselamatan perairan termasuk pulau-pulau di persempadanan," katanya, di sini, sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 11:25 AM