Ardyhansah Amat

Kota Kinabalu: Perintah berkurung di Pantai Timur Sabah bakal memasuki fasa ke-29 selepas dilanjutkan bermula Jumaat ini hingga 24 Oktober depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, keputusan itu bagi memastikan keselamatan perairan di kawasan itu terpelihara selain kesejahteraan penduduk dan pelancong asing terjamin.

"Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, masih terdapat kumpulan penjenayah seperti Abu Sayyaf yang cuba menceroboh sempadan negeri bagi melakukan penculikan dan samun bersenjata.

"Dalam masa sama, pelaksanaan perintah berkurung ini juga membolehkan keadaan di sekitar Pantai Timur negeri lebih terkawal termasuk kawasan Sugud Islands Marine Conservation Area (SISMA) meliputi kepulauan Langkayan, Billiean dan Tegipil dari dicerobohi penjenayah rentas sempadan," katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Jalaluddin berkata, lanjutan perintah itu juga dapat mengatasi penyeludupan dan jenayah rentas sempadan terutamanya di kawasan berhampiran sempadan negara," katanya.

Perintah berkurung mula diperkenalkan pada 19 Julai tahun lalu membabitkan jarak tiga batu nautika dari pantai meliputi daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan dan Sandakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 9:35 PM