JALALUDDIN Abdul Rahman. FOTO fail NSTP Malai Rosmah Tuah
JALALUDDIN Abdul Rahman. FOTO fail NSTP Malai Rosmah Tuah
Oleh Junaidi Ladjana


Kota Kinabalu: Perintah berkurung fasa ke-30 di kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir hari ini, dilanjutkan sehingga 25 November dari 7 malam hingga 5 pagi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, perintah berkurung yang masuk fasa ke-31 ini juga meliputi kawasan yang sama sebelumnya iaitu kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

"Antara sebab perintah berkurung diteruskan adalah memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh oleh pengganas dari selatan Filipina yang mengancan keselamatan penyelidik antarabangsa dan pelancong luar kerana maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan ‘Kidnapping For Ransom’ (KFR) dan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan.

"Dalam masa yang sama pelanjutan tempoh perintah berkurung juga memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini sama ada pengguna perairan dan yang berada di daratan di kawasan ESSZONE," katanya di sini, hari ini.

Jalaluddin berkata, selain itu juga ia memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha pusat peranginan dan aktiviti perikanan.

Perintah berkurung mula dilaksanakan pada 19 Julai tahun lalu membabitkan jarak tiga batu nautika dari pantai meliputi tujuh daerah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 10:49 AM