JALALUDDIN.
JALALUDDIN.
Oleh Mohd Ruzaini Zulkepli

Kota Kinabalu: Perintah berkurung Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang memasuki fasa ke-14 akan dilanjutkan lagi selama 15 hari bermula 12 hingga 26 Februari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abd Rahman berkata, perintah berkurung terbabit dilanjutkan lagi sebagai usaha berterusan menangani jenayah sempadan rentas, penculikan dan permadagangan manusia membabitkan perairan di Pantai Timur.

"Meskipun keadaan tahap keselamatan terkawal tetapi ia tidak boleh dipandang ringan kerana berdasarkan maklumat serta risikan termasuklah daripada rangkaian yang kita terima setakat ini, masih terdapat rancangan atau gerakan untuk mengadakan penculikan dan pencerobohan.

"Namun, perintah berkurung ini sememangnya mempunyai keberkesanan kerana kita dapat memantau setiap pergerakan yang mencurigakan di perairan negeri ini, "katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Perintah berkurung ini membabitkan daerah di pantai timur iaitu Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna serta Tawau, meliputi 314,093 kilometer persegi.

Pelaksaan perintah berkurung bermula pada 7 petang dan berakhir 5 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 4:31 PM