Barisan pemain negara menyahut cabaran Datuk Ong Kim Swee untuk tidak menamatkan saingan pada kedudukan tercorot apabila memastikan kemenangan pada perlawanan terakhir semalam.

Mereka bangkit dari ketinggalan satu gol untuk menewaskan tuan rumah Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2017, Taiwan 3-2 sekali gus menduduki tempat ke-15 daripada 16 pasukan bertanding.

Tiga gol Malaysia dijaringkan separuh masa kedua menerusi Syahrul Azwari Ibrahim, Raslam Khan Abd Rashid dan Mohamad Faizat Ghazali pada perlawanan di Stadium Awam Jeongeup namun dicemari insiden kad merah yang dilayangkan kepada pertahanan negara Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris pada lewat permainan.

“Perlawanan hari ini (semalam) berlangsung dalam padang becak dan cuaca (hujan) namun pemain bangkit daripada ketinggalan untuk meraih kemenangan dan mendapatkan nombor 15.

“Malangnya semangat juang hanya dipamerkan pemain pada perlawanan terakhir,” kata Kim Swee.

Tegasnya walaupun gagal melayakkan pasukan secara automatik untuk edisi 2017, kejohanan berkenaan akan memberi pendedahan dan pengalaman yang berguna untuk pemain.

“Enam perlawanan bermutu dan intensiti tinggi diperoleh mereka. Mereka perlu manfaatkan untuk karier dan masa depan,” tambahnya.

Pada peringkat peringkat kumpulan, Malaysia menentang Brazil, Jepun dan Iran disusuli aksi klasifikasi menentang Mexico, Kanada dan Taiwan.

Malaysia tewas empat perlawanan dan menang dua perlawanan menentang Iran dan Taiwan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 5:03 AM