Pengendali negara Datuk Ong Kim Swee menuntut kesungguhan dan komitmen tinggi anak buahnya apabila turun menentang Taiwan dalam aksi klasifikasi tempat ke-15/16 hari ini.

Kim Swee menegaskan mereka tidak mempunyai pilihan lain selain melakarkan kemenangan bagi mengelakkan kedudukan tercorot pada edisi ke-28 Universiade Gwangju.

“Sudah pasti kita mahu mengelakkan tempat tercorot. Semua pasukan kepenatan namun mereka perlu mempamerkan kesungguhan yang tinggi esok (hari ini),” katanya.

Malaysia gagal melangkah ke saingan suku akhir dan gagal mengekalkan kedudukan tempat ke -12 terbaik sehingga terpaksa beraksi untuk menentukan pasukan tercorot kejohanan.

Bagaimanapun perancangan Kim Swee sedikit terencat apabila terdapat beberapa pemain yang mengalami kecederaan untuk aksi terakhir itu.

Jelas Kim Swee, sekurang-kurangnya enam pemain mengalami kecederaan iaitu Mohd Amirul Hisyam Awang Kecik, Nazirul Naim Che Hashim, Muhamad Faizat Mohamad Ghazali, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris, S S Kumaahran dan kapten negara Saiful Riduwan Selamat.

“Ini adalah perlawanan terakhir, pemain pasti kepenatan untuk menghabiskan jadual. Saya akan melihat keadaan esok (hari ini) dalam menentukan perancangan untuk perlawanan itu,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 4:53 AM