Kapten negara Saiful Riduwan Selamat memohon maaf susulan kegagalan memastikan tiket automatik acara bola sepak di Sukan Universiti Dunia (Universiade) pada 2017 di Taiwan.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee tewas 1-3 kepada Mexico di Stadium Awam Gochang dalam perlawanan klasifikasi tempat ke-9/16 di Gwangju semalam sekali gus terlepas 12 kedudukan teratas untuk layak secara automatik.

“Saya sendiri amat kecewa, walaupun mungkin tidak beraksi untuk 2017, saya memohon maaf kepada generasi akan datang kerana tidak mampu memberikan tiket automatik.

“Banyak kesilapan yang dilakukan terutamanya dua jaringan lawan yang berpunca daripada sepakan penjuru,” kata perancang tengah itu.

Kegagalan berkenaan bermakna bola sepak perlu mengharapkan tiket wild card pada 2017 selepas mula menyertai pada 2007 di Thailand, juga menerusi cara sama.

“Kita bukannya tidak setanding, namun kekalahan ini berpunca daripada kesilapan sendiri,” kata pemain Selangor itu.

Kekalahan berkenaan turut mengundang rasa kecewa Kim Swee kerana pemain negara melepaskan gol dalam situasi bola mati pada perlawanan peringkat kumpulan, namun tidak mengambil iktibar.

Malaysia akan menentang Kanada esok bagi perlawanan klasifikasi tempat ke-13/16.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 7:22 AM