SNBJ tetap menjadi pilihan sebagai venue perlawanan menentang Taiwan. -FOTO Arkib
SNBJ tetap menjadi pilihan sebagai venue perlawanan menentang Taiwan. -FOTO Arkib
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persoalan membabitkan venue perlawanan skuad Harimau Malaya menentang Taiwan pada bulan depan akhirnya terjawab apabila Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) terus menjadi pilihan utama untuk aksi penting itu.

Walaupun padang di venue berkenaan bakal 'berwajah baharu' dengan menukar kepada rumput jenis hibrid namun proses berkenaan akan dilakukan sebaik tamat perlawanan akhir kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Taiwan.

Berdasarkan kepada pemerhatian ketika aksi pertunjukkan 'Battle of The Reds' antara Manchester Reds dan Liverpool Reds, Sabtu lalu, keadaan rumput di SNBJ dilihat dalam keadaan baik serta mendapat pujian daripada beberapa bekas pemain Liga Perdana Inggeris (EPL).

Justeru, laporan memetik kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bahawa proses penukaran rumput kepada jenis hibrid di Stadium Nasional akan dijalankan selepas aksi itu pasti melegakan semua pihak.

"Saya difahamkan oleh pihak PSM (Perbadanan Stadium Malaysia) dan pihak Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bahawa penukaran rumput akan dilakukan selepas aksi kelayakan Piala Dunia, Jun depan. Saya berasa ia mungkin akan bermula Julai atau Ogos," katanya.

Meskipun terdapat pilihan venue lain seperti Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, namun Stadium Nasional tetap dianggap sebagai pilihan paling terbaik buat Harimau Malaya terutama dalam memastikan kehadiran ramai penyokong.

Sokongan padu daripada seluruh penyokong sangat diperlukan skuad kendalian Kim Pan -gon kerana aksi berdepan Taiwan, 11 Jun depan mungkin menjadi perlawanan penentu nasib Harimau Malaya dalam kempen kelayakan itu.

Hamidin bagaimanapun berkata, bahagian teknikal bersama barisan kejurulatih skuad kebangsaan terlebih dahulu akan mengadakan lawatan ke Stadium Nasional bulan ini.

Beliau menjelaskan, lawatan itu bagi memeriksa keadaan padang sebelum memutuskan sama ada gelanggang itu sesuai atau tidak untuk digunakan bagi aksi berdepan Taiwan.

Sebelum ini, wujud persoalan mengenai gelanggang Harimau Malaya untuk melayan kunjungan Taiwan selepas Stadium Nasional bakal menjalani proses penukaran rumput daripada jenis Zeon Zoysia kepada hibrid.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 2:20 PM