Elak kedudukan tercorot! Itu pesanan Datuk Ong Kim Swee kepada anak buahnya sambil mengharapkan mereka meraih kemenangan apabila menentang Kanada dalam aksi klasifikasi tempat ke-13 dan 16 hari ini.

Kegagalan menewaskan Kanada akan menyebabkan skuad bola sepak negara terpaksa beraksi untuk menentukan kedudukan dua pasukan tercorot iaitu tempat ke-15 dan 16.

“Walaupun sudah tidak layak secara automatik untuk temasya dua tahun lagi, kita perlu pastikan dapat menamatkan saingan pada kedudukan terbaik.

“Moral pemain memang terjejas namun mereka perlu bangkit dan tidak boleh memikirkan semua itu. Kita mahukan kemenangan apabila hadir pada sesuatu kejohanan namun apabila matlamat gagal dicapai, kita perlu pastikan dapat menghabiskannya dengan baik,” jelasnya.

Malaysia gagal mengekalkan tiket automatik iaitu muncul 12 pasukan terbaik apabila tewas kepada Mexico 1-3, Khamis lalu.

Malaysia menamatkan saingan peringkat Kumpulan C di belakang Jepun dan Brazil dengan kedua-duanya berjaya mara ke separuh akhir.

“Penting bagi pemain mengharungi enam perlawanan kompetitif terutamanya pemain Harimau Muda B yang pastinya akan mematangkan mereka pada masa depan,” tambahnya.

Kim Swee dijangka menurunkan beberapa pemain yang kerap memanaskan bangku simpanan bagi memberi peluang kepada mereka selain kecederaan yang menimpa Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris, Mohamad Faizat Mohd Ghazli dan Nazirul Naim Che Hashim.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2015 @ 5:08 AM