Gwangju: Datuk Ong Kim Swee berdepan kesukaran apabila menentang Mexico hari ini susulan tiga pemain utamanya mengalami kecederaan.

Malaysia berdepan misi wajib menang di Stadium Awam Gochang dalam aksi klasifikasi 9-16 dalam usaha mendapatkan slot automatik iaitu muncul 12 pasukan terbaik ke edisi-29 Universiade di Taiwan.

Kekalahan kepada Mexico bakal menyebabkan slot automatik edisi ke-29 akan terlepas dan perlu mengharungi aksi kelayakan.

“Sudah tentu pemain keletihan apabila terpaksa beraksi tiga perlawanan dalam tempoh enam hari dengan tiga pemain mengalami kecederaan,” kata Kim Swee semalam.

Ia pasti memeningkan Kim Swee apabila kehilangan pertahanan tengah Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris dan pemain sayap Mohd Faizat Ghazli yang sentiasa beraksi cemerlang selain penyerang S Kumaarhan.

“Namun apa yang positif adalah kembalinya A Thamil Arasu dan kapten pasukan Saiful Riduwan Selamat. Saya mengharapkan kedua-duanya lebih cergas untuk membantu jentera serangan yang tumpul ketika menentang Jepun (tewas 0-4).

“Malah pada perlawanan itu, pergerakan bahagian tengah amat kurang. Jadi saya berharap Saiful mampu memainkan peranannya selain aspek kepimpinan dalam padang,” jelasnya.

Mengenai Mexico, Kim Swee berkata mereka tidak mempunyai banyak perbezaan dengan Brazil apabila mempunyai kemampuan teknikal yang baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 8:07 AM