Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Indra Putra Mahyuddin yang meledak hatrik ketika membantu FELDA United membelasah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 4-0 enggan mendabik dada dengan fokus utamanya adalah memastikan pasukan turut bersaing memburu gelaran Liga Super musim ini.

Pemain kelahiran Ipoh, Perak itu berkata, kemenangan besar sebelum saingan liga berhenti rehat bagi memberi laluan menyambut Aidilfitri, sedikit sebanyak membawa suntikan semangat kepadanya serta rakan sepasukan untuk memburu kejuaraan.

Jelasnya, tiada yang mustahil untuk melakukannya jika persembahan seperti bertemu ATM dapat dipamerkan sekali gus menambah tekanan kepada tiga pasukan teratas liga dengan FELDA kini berada di tangga keempat carta liga di belakang Pahang, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan Perak.

“Bagi saya hatrik itu hasil kerjasama dan persefahaman mantap dalam kalangan rakan sepasukan. Saya berterima kasih kepada rakan-rakan kerana tanpa bantuan mereka mungkin jaringan itu sukar diperolehi.

“Secara tidak langsung tiga gol itu juga meningkatkan lagi azam saya untuk membolosi gawang lawan pada setiap perlawanan,” katanya.

Sementara itu jurulatih The Fighters Irfan Bakti Abu Salim mahu anak buahnya meneruskan aksi konsisten itu apabila berdepan LionsXII pada 2 Ogos depan.

“Saya harap Indra dan pemain lain dapat meningkatkan lagi prestasi lebih-lebih lagi selepas ini kami akan menentang Lions XII di Jalan Besar. Bukan mudah untuk beraksi di sana kerana mereka amat kebal di stadium berkenaan.

“Namun, menerusi kemenangan sebelum ini sudah pasti ianya memberikan impak positif untuk memastikan kami meraih kejayaan pada setiap perlawanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 4:59 AM