Oleh Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Penyerang berpengalaman FELDA United Indra Putra Mahayuddin tetap yakin perebutan tempat ketiga dalam Liga Super akan menjadi pembakar semangat untuk mengejutkan Pahang di Stadium Darul Makmur hari ini.

Perlawanan itu turut menarik perhatian penyokong Johor Darul Ta’zim (Johor DT) yang pasti mengharapkan bantuan FELDA United untuk mengalahkan Pahang bagi membuka peluang mereka memintas pendahulu liga itu.

Bagi Indra, 33, mereka tidak memberi fokus kepada peranan sebagai pasukan ‘pengacau’ perebutan kejuaraan antara Pahang dan Johor DT, sebaliknya hanya mahu mengutip mata penuh dalam dua perlawanan terakhir bagi menamatkan kempen di kedudukan ketiga.

“Motivasi kami sekarang mahu menduduki tangga ketiga liga, jadi kami tidak mahu melepaskan peluang itu. Memang Pahang pasukan yang bagus terutama bahagian serangan diterajui Dickson (Nwakaeme) dan R Gopinathan.

“Tapi aksi jadual padat pasti akan menjejaskan stamina mana-mana pasukan. Mungkin di sini FELDA United boleh ambil kesempatan,” katanya.

Berbaki dua perlawanan, FELDA United yang dibimbing Irfan Bakti Abu Salim kini menduduki tangga keempat liga dan bersaing dengan Selangor, Terengganu, PDRM dan LionsXII bagi tempat ketiga.

Indra tidak dapat beraksi hari ini kerana penggantungan satu perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning namun percaya ketiadaannya tidak menjejaskan prestasi pasukan.

Sehubungan itu, dia tidak sabar untuk kembali diturunkan pada perlawanan terakhir menentang Johor DT di Selayang Sabtu ini.

“Saya mendoakan agar rakan sepasukan membawa pulang tiga mata. Saya rasa FELDA United memiliki ramai pemain yang boleh menggantikan tempat saya. Saya percaya pemain yang diturunkan pasti akan memberikan aksi terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 9:46 AM