IFEDAYO Olusegun. - FOTO NSTP
IFEDAYO Olusegun. - FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Rakan sepasukan yang pecahkan rekod, bukannya semata-mata saya", itu kata pemegang rekod baharu penjaring terbanyak Liga Super dalam semusim, Ifedayo Olusegun apabila ayam tambatan dari Nigeria itu meledak 25 gol musim ini.

Jumlah gol berkenaan menyaksikan rekod bekas pemain Kelantan dan Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Mohamad Ghaddar dengan 23 gol pada 2017 lebur dengan Ifedayo yang beraksi buat Selangor FC adalah penyerang paling berbisa dalam kancah liga tempatan ketika ini.

Dia juga dilihat berada pada laluan tepat untuk muncul sebagai pemain pertama mempertahankan anugerah kasut emas buat dua musim berturut-turut selepas musim lalu menjulang gelaran penjaring terbanyak dengan 12 gol yang dilangsungkan secara satu pusingan sahaja.

Begitupun, Ifedayo tidak menganggap kejayaan memecahkan rekod Ghaddar itu hanya datang dari dirinya, tetapi ia adalah hasil kerjasama sepasukan yang bertungkus lumus sepanjang musim ini.

"Sudah semestinya ia perasaan yang amat menggembirakan (pemegang rekod baharu Liga Super). Saya berterima kasih kepada tuhan dan saya nak ucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada rakan sepasukan kerana tanpa mereka ia takkan berlaku.

"Rakan-rakan banyak membantu saya dan ini adalah hasil kerja keras semua pihak termasuk jurulatih, pihak pengurusan dan pemain serta penyokong.

"Mereka (penyokong) sentiasa menyokong kami, walaupun dalam situasi tidak menentu tetapi mereka tetap berada di belakang saya dan menyokong pasukan.

"Ucapan terima kasih yang amat istimewa buat rakan-rakan sepasukan...dan bagi saya, kami yang pecahkan rekod ini bukannya saya semata-mata," katanya yang pernah beraksi untuk Felda United dan Melaka United sebelum menyertai skuad Red Giants pada 2019.

Ifedayo masih berpeluang untuk menambah gol pada aksi terakhir liga di mana Selangor dijadual akan turun menentang Petaling Jaya City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya Ahad ini.

Malah, penyerang JDT, Bergson da Silva (23 gol) juga dilihat berupaya memberi cabaran buat Ifedayo sekiranya penyerang dari Brazil itu mampu meledak tiga gol dalam aksi terakhir dengan Kuala Lumpur City hujung minggu ini, sambil mengharap pencabarnya tidak menjaringkan sebarang gol.

Untuk rekod, Ifedayo berjaya melakar rekod itu selepas meledak hatrik ketika membantu Selangor membelasah Sabah 6-0 di Stadium Likas, semalam.

Senarai Penjaring Terbanyak Dalam Semusim.

Musim 2004: Indra Putra Mahayuddin (Pahang) – 15 gol

Musim 2005: Julio Cesar Rodriguez (Sabah), Zacharia Simukonda (Perlis) – 18 gol

Musim 2006: Keita Mandjou (Perak) – 17 gol

Musim 2007: Keita Mandjou (Perak), Mohd Shahrazen Said (DPMM) – 21 gol

Musim 2008: Marlon Alex James (Kedah) – 21 gol

Musim 2009: Nizaruddin Yusof (Perlis) – 18 gol

Musim 2010: Ashaari Shamsuddin (Terengganu) – 18 gol

Musim 2011: Abdul Hadi Yahya (Terengganu) – 20 gol

Musim 2012: Jean-Emmanuel Effa Owona (N.Sembilan), Francis Doe Forkey (Terengganu) – 15 gol

Musim 2013: Marlon Alex James (ATM) – 16 gol

Musim 2014: Paulo Rangel (Selangor) - 16 gol

Musim 2015: Dramane Traore (PDRM)– 20 gol

Musim 2016: Jorge Pareyra Diaz (JDT) – 18 gol

Musim 2017: Mohammed Ghaddar (Kelantan/JDT) – 23 gol

Musim 2018: Rufino Segovia (Selangor)- 19 gol

Musim 2019: Kpah Sherman (Kedah) – 14 gol

Musim 2020: Ifedayo Olusegun (Selangor) – 12 gol Aksi liga 11 perlawanan sahaja ekoran Covid-19

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 2:23 PM