BINTANG EPL cipta karenah selagi permintaan tidak dipenuhi.
BINTANG EPL cipta karenah selagi permintaan tidak dipenuhi.

Raheem Sterling enggan menyertai jelajah pra-musim Liverpool di Timur Jauh dan Australia dalam usaha memaksa perpindahan ke Manchester City dengan nilai £50 juta (RM292 juta).

Pemain sayap England itu juga gagal melapor diri untuk latihan di Melwood, kelmarin, mendakwa memberitahu pengurus Brendan Rodgers dia kurang sihat.

Namun Sterling bukan pemain pertama menggunakan taktik sedemikian untuk mendapat apa yang dicita-citakannya.

Nicolas Anelka (Arsenal)

Minat yang ditunjukkan Real Madrid pada akhir musim 1998-1999 membuatkan peminat Arsenal mengecam penyerang itu yang dianggap tidak bermain dengan serius. Anelka digelar ‘Le Sulk’ oleh wartawan dan dia mempersalahkan mereka kerana memaksanya meninggalkan England.

Hasilnya: Dia mendapat apa yang dihajati apabila menyertai Real dengan kontrak £22.3 juta (RM130.3 juta).

Dimitar Berbatov (Tottenham Hotspur)

Dia enggan menjadi pemain gantian di bawah kendalian Martin Jol, yang dianggap menjadi punca kegagalan kelab itu yang turut mengancam kerjaya pengurus berkenaan. Pada akhir musim dia menggesa mahu berpindah kelab selepas Robbie Keane dibenarkan menyertai Liverpool.

Dia memulakan musim baru di White Hart Lane tetapi pengurus baru Juande Ramos berkata fikiran pemain itu tidak tenang untuk menghadapi perlawanan apatah lagi dengan minat ditunjukkan Manchester United.

Hasilnya: Dia menyertai United pada harga £30.75 juta (RM179.5 juta) pada hari terakhir musim perpindahan.

William Gallas (Chelsea)

Pertahanan Perancis itu terbabit dengan isu kontrak yang berlanjutan dan tidak gembira apabila diletakkan di posisi bek kiri, memohon meninggalkan kelab itu sebelum Piala Dunia 2006.

Hasilnya: Gallas dan pemain Arsenal, Ashley Cole bertukar tempat pada hari terakhir musim perpindahan. Chelsea mendakwa Gallas mengugut mahu menjaringkan gol sendiri jika dia bermain bersama kelab itu, namun kenyataan itu dinafikan sekeras-kerasnya pemain berkenaan.

Robbie Savage (Birmingham)

Pada Januari 2005, Savage menyerahkan permohonan mahu menyertai Blackburn supaya boleh berada dekat dengan ibu bapa di Wrexham, biarpun sebenarnya Birmingham lebih dekat dengan Wrexham berbanding Black­burn.

Pemilik Blues, David Sullivan naik angin: “Apa yang Robbie patut tahu, lebih banyak dia mengeluh, lebih banyak cerita yang kita lihat dan dengar, kelab ini menjadi semakin kukuh.”

Hasilnya: Savage kemudiannya mengakui dia tidak berusaha bersungguh-sungguh ketika perlawanan terakhirnya buat Birmingham menentang Newcastle. Dia dijual kepada Blackburn pada harga £3 juta (RM17.5 juta).

Peter Odemwingie (West Brom)

Penyerang itu ‘menyerang’ kelab itu di Twitter pada Januari 2013 dalam usaha meninggalkan Hawthorns. Pada hari terakhir dia datang ke pusat latihan QPR di London tetapi tidak dibenarkan masuk kerana tiada persetujuan dicapai di antara kedua-dua kelab.

Dia kembali ke West Brom dan dikenakan tindakan disiplin oleh kelab itu. Odemwingie sekali lagi menggunakan Twitter mengkritik Baggies selepas pengurus Steve Clarke menggunakannya sebagai pemain gantian dan penyokong mengejeknya sebaik diturunkan.

Hasilnya: Dia menyertai Cardiff pada September 2013 pada harga £2.25 juta (RM13.1 juta).

Clint Dempsey (Fulham)

Dempsey yang ketika itu berusia 29 tahun percaya masih berpeluang membuat satu lagi perpindahan berprofil tinggi sepanjang kariernya, dan menyertai revolusi Brendan Rodgers di Liverpool pada 2012, memutuskan untuk melancarkon mogok terhadap kelabnya, Fulham.

Reputasi yang dibina sepanjang enam tahun di Craven Cottage lebur begitu saja apabila pemenang Pemain Terbaik kelab selama dua musim memberitahu Martin Jol dia tidak akan bermain.

Hasilnya: Tawaran Liverpool tidak wujud dan Dempsey berpindah ke Tottenham pada hari akhir perpindahan.

Carlos Tevez (Manchester City)

Beberapa hari selepas membawa Manchester City menjulang Piala FA, Tevez yang dikaitkan dengan perpindahan ke Itali memberitahu rancangan bual bicara Argentina yang dia tidak akan kembali ke Eastlands untuk bercuti. Tevez kemudiannya kembali ke City pada musim berikutnya namun ketenangan tidak kekal lama.

Pada September, dia enggan bermain ketika perlawanan Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich, menyebabkan pengurus Roberto Mancini memintanya meninggalkan kelab itu. Tevez terus menghilangkan diri, bermain golf di negaranya dan menjauhkan diri dari Manchester.

Hasilnya: Gagal mendapatkan kelab baru, Tevez kemudiannya sedia membayar denda dan kembali ke Manchester pada Februari hingga akhir musim. Dia kemudiannya tampil sebagai juara Liga Perdana Inggeris.

Luis Suarez (Liverpool)

Pada akhir Mei 2013, Suarez berkata mahu meninggalkan Liverpool, mendakwa gangguan melampau media terhadap kehidupan peribadi sebagai puncanya. Ia berlaku beberapa minggu selepas Suarez menggigit pertahanan Chelsea Branislav Ivanovic dan menerima kritikan hebat.

Liverpool bagaimanapun bertindak kurang bijak apabila berkata pemain itu bakal dijual pada harga £40 juta (RM233.6 juta) menyebabkan Arsenal menawarkan £40 juta dengan tambahan £1 (RM5.80). Pengurusnya Brendan Rodgers mendakwa pemain Uruguay itu tidak menghormati kelab dan mengarahkannya berlatih secara berasingan daripada skuad utama.

Hasilnya: Pada Ogos, Suarez menikmati musim terbaik sepanjang kariernya dengan menjaringkan 31 gol, hampir membawa Liverpool ke mercu kejayaan selepas penantian dua dekad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 10:58 AM