MASCHERANO sarung jersi  nombor 14.
MASCHERANO sarung jersi nombor 14.
AFP

SHANGHAI: Pertahanan Argentina Javier Mascherano diperkenalkan sebagai pemain berprofil tinggi yang menyertai Liga Super China apabila menyertai Hebei China Fortune dari Barcelona.

Pemain berusia 33 tahun itu menjadi pemain paling ternama berpindah ke China selepas rakan senegaranya dari Argentina Carlos Tevez berbuat demikian tahun lalu.

Selepas beberapa perpindahan yang dianggap memecah rekod, pihak berkuasa China bertindak menghalang kontrak seumpamanya tahun lalu.

Dia akan menyarung jersi nombor 14 dan akan bergandingan dengan seorang lagi pemain Argentina Ezequiel Lavezzi, di Hebei, berpangkalan di bandar utara China, Qinhuangdao yang dikendalikan bekas jurulatih Manchester City Manuel Pellegrini.

“Selepas mencapai persetujuan dengan Barcelona FC dan pemain itu sendiri, kapten Argentina Mascherano menyertai Kelab Bolasepak Hebei China Fortune secara rasminya hari ini,” kata kelab China itu, tanpa mendedahkan bayaran perpindahan.

Kelab gergasi Sepanyol Barcelona mengumumkan semalam bahawa Mascherano, yang boleh bermain sebagai pemain tengah bertahan, meninggalkan kelab itu selepas tujuh setengah musim, tanpa menjelaskan destinasinya.

Kelab gergasi Catalan itu berkata Mascherano akan diberikan sambutan perpisahan secara rasmi hari ini dan akan mengucapkan selamat tinggal kepada peminat dalam aksi suku akhir kedua Piala Raja Sepanyol ketika berdepan Espanyol.

Bulan lalu, Sport, sebuah akhbar harian Catalan berkata Hebei mencapai persetujuan untuk mendapatkannya dari Barca pada harga 10 juta euro (RM48.2 juta), bergantung kepada keupayaan kelab Sepanyol itu mendapatkan penggantinya, yang berjaya dilakukan mereka apabila mendapatkan bek tengah Colombia Yerry Mina.

Mascherano tiba di Barcelona dari Liverpool pada Ogos 2010 dan menang empat gelaran La Liga, empat gelaran Piala Raja Sepanyol, dua Liga Juara-Juara dan dua Piala Dunia.

Dia hanya menjaringkan satu gol daripada 334 penampilan, apabila rakan sepasukannya mendesaknya mengambil sepakan penalti ketika membelasah Osasuna 7-1 pada April tahun lalu.

Hanya dua pemain bukan Sepanyol iaitu Lionel Messi dan Dani Alves beraksi dalam lebih banyak perlawanan bersama Barcelona.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 9:52 PM