SUAREZ (kanan) bergurau bersama Gerrard Pique dan Nyemar ketika latihan menjelang pertemuan dengan Real.
SUAREZ (kanan) bergurau bersama Gerrard Pique dan Nyemar ketika latihan menjelang pertemuan dengan Real.

Madrid: Selepas 122 hari, akhirnya Luis Suarez akan kembali beraksi dalam perlawanan kompetitif dan ia bukan perlawanan biasa, tapi salah satu perlawanan terbesar bola sepak dunia apabila Barcelona bertemu Real Madrid di Santiago Bernabeu, malam esok.

Banyak perubahan berlaku sejak Suarez menggigit bahu pemain pertahanan Itali, Giorgio Chiellini pada Piala Dunia Jun lalu.

Dia dikecam hebat semua pengkritik bola sepak di seluruh dunia dan dikenakan hukuman penggantungan empat bulan oleh FIFA memandangkan kesalahan menggigit itu yang ketiga dilakukannya serta membuat keputusan untuk menukar kelab.

Suarez mengaku dia bimbang insiden itu akan menghalangnya berpindah dari Liverpool ke Barca, namun kelab Catalunya itu bersedia mempertaruhkan nasib mereka dengan membayar £75 juta (RM392 juta) bagi merealisasikan perpindahan itu.

"Saya takut mereka akan batalkan perpindahan kerana insiden itu. Saya sedar ia boleh berlaku," katanya.

"Selepas itu perbincangan kontrak dilakukan dengan Barca dan ejen Pere Guardiola menghubungi saya untuk memberitahu semuanya sudah selesai.

"Saya menangis mengenang situasi yang saya lalui dan kepercayaan Barca kepada saya. Saya sangat gembira dengan komitmen kelab itu kepada saya."

Waktu untuk membalas kembali kepercayaan itu kini bermula.

Jaringan 31 gol Suarez dalam Liga Perdana hampir membantu Liverpool merangkul kejuaraan pertama dalam 24 tahun musim lalu dan menyaksikannya dinobat pemain terbaik tahunan menerusi pilihan pemain dan penulis sukan.

Bagaimanapun dia kini perlu membiasakan diri beraksi bersama pemain bintang di Barca.

Suarez menyertai pasukan yang mempunyai penyerang bintang iaitu Pemain Terbaik Dunia Lionel Messi dan kapten Brazil, Neymar yang menjadi barisan pemain idaman semua pengurus bola sepak.-AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:01 AM