Pemain perseorangan Denmark, Viktor Axelsen dinobat juara selepas mengalahkan pemain perseorangan lelaki negara, Zii Jia pada badminton Masters Malaysia perinkat akhir di Arena Axiata Bukit Jalil. -FOTO Aswadi Alias
Pemain perseorangan Denmark, Viktor Axelsen dinobat juara selepas mengalahkan pemain perseorangan lelaki negara, Zii Jia pada badminton Masters Malaysia perinkat akhir di Arena Axiata Bukit Jalil. -FOTO Aswadi Alias
ZII JIA akur tewas kepada Axelsen pada final Masters Malaysia di Arena Axiata Bukit Jalil. -FOTO Aswadi Alias
ZII JIA akur tewas kepada Axelsen pada final Masters Malaysia di Arena Axiata Bukit Jalil. -FOTO Aswadi Alias
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Impian perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk merangkul gelaran sulung di laman sendiri tidak kesampaian selepas tumpas di final Masters Malaysia kepada pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen di Axiata Arena.

Zii Jia yang juga pemain ranking ke-10 dunia terpaksa akur dengan kehebatan Axelsen walaupun cuba dibantu ribuan penyokong apabila kalah 6-21, 22-20, 13-21.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada pemain profesional itu apabila mara ke final dua minggu berturut-turut selepas muncul juara di Terbuka Thailand.

Bezanya, dia tidak berpeluang untuk merasai nikmat di laman sendiri untuk menamatkan penantian lapan tahun pemain perseorangan lelaki muncul juara Masters Malaysia selepas kali terakhir dilakukan Datuk Lee Chong Wei pada 2016 di Pulau Pinang.

Susulan kemenangan pada aksi final hari ini, Axelsen berjaya merangkul gelaran sulungnya musim ini dan yang kedua di Masters Malaysia selepas turut menjuarai edisi 2018.

Selaku juara, Axelsen membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$31,500 (RM148,191) manakala Zii Jia yang terpaksa berpuas hati dengan naib juara AS$15,960 (RM75,083).

Menurut Zii Jia, banyak yang dipelajarinya sepanjang dua minggu beraksi dalam dua perlawanan akhir berturut-turut dan akan menggunakan pengalaman itu bagi kejohanan seterusnya.

"Banyak perkara yang saya belajar dan saya harap perkara ini akan digunakan untuk kejohanan lain sehingga ke Sukan Olimpik Paris," katanya yang bakal beraksi di Terbuka Singapura minggu depan.

Ditanya apa yang berlaku pada set penentuan, pemain berusia 26 tahun itu berkata, dia hanya cuba yang terbaik dan mengeluarkan apa dimilikinya.

"Saya harus menerima keputusan ini dan jika saya berada dalam keadaan cergas sepenuhnya pun belum tentu mampu menumbangkannya kerana dia seorang pemain berpengalaman.

"Jadi hari ini saya sudah berikan yang terbaik dan walaupun tidak puas, saya harus menerimanya," kata Zii Jia yang ketinggalan 3-7 untuk rekod pertemuan dengan Axelsen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 8:33 PM