MICHAEL OWEN
MICHAEL OWEN
ROBBIE KEANE
ROBBIE KEANE
WAYNE ROONEY
WAYNE ROONEY
ALAN SHEARER
ALAN SHEARER
ROBBIE FOWLER
ROBBIE FOWLER

Pemain Manchester United berharga £36 juta (RM236.5 juta), Anthony Martial (gambar) menutup mulut pengkritik yang mempersoalkan bayaran tinggi terhadapnya dengan menjaringkan gol pertama Liga Perdana Inggeris menentang musuh ketat mereka Liverpool, Sabtu lalu.

Pemain remaja termahal itu meletakkan namanya di Old Trafford dengan memperdayakan Martin Skrtel sebelum meledak melepasi Simon Mignolet untuk menghalang kebangkitan Liverpool.

Sementara itu satu lagi pasukan Manchester meraikan gol pertama daripada pemain berusia 18 tahun Kelechi Iheanacho, apabila pemain Nigeria itu meraih tiga mata buat City ke atas Crystal Palace menerusi jaringan babak akhir.

Martial dan Iheanacho bukanlah remaja pertama yang menandakan kemunculan pertama mereka dengan kejutan.

MICHAEL OWEN

Bekas penyerang Liverpool itu melangkah ke Liga Perdana Inggeris ketika berusia 17 tahun, menjaringkan gol pertamanya ke atas Wimbledon pada akhir musim 1996-97, biarpun gagal menghalang Reds daripada tewas.

Pada musim berikutnya Owen memenangi anugerah kasut emas Liga Perdana Inggeris sebelum cemerlang pada Piala Dunia 1998 dengan gol ke atas Argentina.

Owen menikmati tujuh tahun gemilang di Anfield, menjaringkan 118 gol Liga Perdana Inggeris sebelum berpindah ke Real Madrid.

Kecederaan hamstring memaksanya pulang ke England bersama Newcastle selepas hanya semusim di Sepanyol. Dia terus bermain bersama Manchester United dan Stoke sebelum bersara pada 2013.

JAMES VAUGHAN

Sebaik Vaughan melangkah ke padang untuk perlawanan membabitkan Everton dan Crystal Palace pada 10 April 2005 pada penampilan sulungnya, dia mencatat rekod sebagai penjaring gol termuda di Liga Perdana Inggeris pada usia 16 tahun, 271 hari.

Harapan menggunung diletakkan ke atas Vaughan yang juga pemain remaja England, tetapi kecederaan lutut yang serius pada musim 2005-06, memusnahkan segala-galanya.

Dia gagal mengukuhkan reputasi di Everton, dipinjamkan ke Derby, Leicester dan Crystal Palace sebelum menyertai Norwich secara tetap.

Vaughan kemudiannya dipinjamkan ke Huddersfield sebelum menandatangani kontrak dengan kelab itu pada 2013. Dia menjaringkan 31 gol sepanjang tiga musim.

ROBBIE KEANE

Pemain Republik Ireland itu menyertai Wolves pada usia 17 tahun dan menjaringkan dua gol dalam penampilan sulung bersama Norwich.

Selepas enam bulan di Inter Milan, Keane kembali ke Liga Perdana Inggeris bersama Leeds, mulanya secara pinjaman sebelum kekal bersama kelab itu.

Namun di Tottenham, Keane menikmati pelbagai kejayaan dengan 80 gol sepanjang enam musim di White Hart Lane.

Kegagalan menyertai Liverpool, menyebabkan dia terus bersama Tottenham sebelum beralih arah ke Major League Soccer bersama LA Galaxy dan kekal sebagai penjaring prolifik.

ALAN SHEARER

Shearer mencuri tumpuan selepas menjaringkan hatrik buat Southampton pada penampilan pertamanya untuk menang 4-2 ke atas Arsenal, menjadikannya pemain termuda menjaringkan hatrik di EPL pada usia 17 tahun, 240 hari.

Shearer memecah rekod perpindahan Inggeris ketika itu, £3.6 juta (RM23.5 juta) untuk menyertai Blackburn pada 1992. Dia menikmati empat tahun prolifik di Ewood Park dan membantu Blackburn menjulang Liga Perdana Inggeris pada 1994-95, menerusi 34 jaringan.

Rekod perpindahan itu dipecahkan sekali lagi apabila Shearer menyertai Newcastle pada £15j (RM98.1j), menolak tawaran Manchester United yang ketika itu dikendalikan Sir Alex Ferguson.

Dia kekal penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris sepanjang zaman dengan 260 gol.

FEDERICO MACHEDA

Ramai menganggap bintang baru sudah muncul apabila Macheda yang ketika itu berusia 17 tahun, membantu Manchester United yang ketinggalan 1-2 kepada Aston Villa di Old Trafford pada April 2009.

Sebaik Cristiano Ronaldo menyamakan kedudukan Macheda berjaya menjaringkan gol ketiga pada minit ketiga masa kecederaan sekali gus memastikan gelaran menjadi milik United.

Namun sepanjang enam tahun di kelab itu, Macheda hanya menjaringkan tiga lagi gol dan dipinjamkan sebanyak enam kali ke beberapa kelab antaranya Queens Park Rangers, Doncaster dan Birmingham.

Pemain Itali itu menyertai Cardiff musim panas lalu dan menjaringkan enam gol dalam Liga Kejuaraan.

DANNY ROSE

Rose menyertai Tottenham dari Leeds pada harga £1j (RM6.5j) ketika berusia 17 tahun tetapi menunggu hampir dua tahun sebelum membuat penampilan sulung Liga Perdana Inggeris, namun penantiannya berbaloi.

Ramai yang terkejut apabila Harry Redknapp menamakan Rose dalam kesebelasan utama menentang Arsenal pada April 2010, namun pemain yang berusia 19 tahun ketika itu meledak voli kencang bagi membantu Spurs menang 2-1.

Dia kemudiannya dipinjamkan ke Bristol City dan Sunderland sebelum Rose mengesahkan kedudukannya sebagai pilihan utama Tottenham di posisi bek kiri.

Kempennya bersama Spurs musim lalu diangggap baik namun musim ini bermula pincang berikutan kecederaan berulang.

ALAN SMITH

Smith yang ketika itu berusia 18 tahun membantu kebangkitan Leeds di Anfield sebaik diturunkan dari bangku simpanan pada perlawanan sulungnya menentang Liverpool, menyamakan kedudukan sebelum menang 3-1.

Dia menjadi elemen utama skuad Leeds kendalian David O’Leary yang mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara pada 2001-02, biarpun Smith dibuang padang dan mereka tumpas kepada Valencia.

Perpindahan ke Manchester United membawa Smith ke posisi tengah. Dia patah kaki ketika perlawanan menentang Liverpool dan gagal kembali ke prestasi seperti di Leeds. Dia berpindah ke Newcastle sebelum ke Milton Keynes Dons dan Notts County.

WAYNE ROONEY

Kata-kata pengulas sukan Martin Tyler supaya peminat meningati nama pemain ini ada kebenarannya. Komen itu terhasil selepas Rooney yang ketika itu berusia 16 tahun menjaringkan gol Everton ke atas Arsenal pada Oktober 2003, mengakhiri rekod 30 perlawanan tanpa kalah Arsenal.

Dia menjadi pemain remaja termahal sebaik menyertai Manchester United dengan harga £25j (RM163.2j) pada usia 18 tahun. Rooney kemudiannya memenangi lima gelaran Liga Perdana Inggeris dan ketika ini penjaring ketiga terbanyak Liga Perdana Inggeris dengan 185 gol.

FRANCIS JEFFERS

Jeffers menarik minat ramai ketika membuat penampilan sulung pada usia 16 tahun, diturunkan dari bangku simpanan ketika menentang Manchester United pada 1997.

Dia mencipta reputasi sebagai pemain yang licik di depan gawang dan meyakinkan Arsene Wenger untuk melaburkan £8j (RM52.2j) untuk mendapatkan penyerang muda pada 2001.

Jeffers bagaimanapun gagal meneruskan kehebatannya meskipun menjaringkan gol pada perlawanan sulung mewakili England, kekal sebagai jaringan tunggalnya.

Dia kemudiannya beraksi di Charlton, Blackburn, Sheffield Wednesday dan Newcastle Jets di Australia namun semuanya tidak menjadi sebelum bersara bersama Accrington Stanley pada 2013.

ROBBIE FOWLER

Fowler sering dianggap sebagai antara penyudah berbakat, menjaringkan gol pada penampilan sulung bersama Liverpool ke atas Fulham pada Piala Liga 1993 sebelum menjaringkan lima gol dalam perlawanan timbal balik dua minggu kemudian.

Fowler menjaringkan hatrik Liga Perdana Inggeris pertamanya dalam penampilan kelimanya bersama kelab itu.

Selama lapan musim di Liverpool, dia menjaringkan 120 gol liga sebelum menyertai Leeds dan Manchester City sebelum kembali ke Anfield. Pada penhujung kariernya, dia pernah menyertai North Queensland Fury dan Perth Glory dalam A-League serta Muangthong United di Thailand.

Dia bagaimanapun hanya menyarung jersi England sebanyak 26 kali dan menjaringkan tujuh gol di pentas antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 10:34 AM