Reuters

Hong Kong: Carlos Tevez (gambar) dibenarkan kembali ke Argentina untuk rawatan kecederaan betis, tetapi hanya selepas bersetuju secara bertulis untuk kembali ke kelab Liga Super China Shanghai Shenhua sebelum akhir bulan ini.

Spekulasi semakin hangat di media tempatan bahawa bekas penyerang Manchester United dan Juventus forward cuba untuk kembali ke Boca Juniors, yang menjual pemain berusia 33 tahun itu ke Shenhua pada harga 11 juta euro (RM55.5 juta) Januari lalu.

Dia hanya beraksi 11 kali dalam liga itu bersama Shenhua, menjaringkan dua gol dengan aksi hambar itu dikatakan berpunca daripada kecederaan yang berlaku kali pertama April lalu.

Tevez meminta Shenhua membenarkannya kembali ke Buenos Aires untuk rawatan lanjut.

“Selepas berbincang susulan permintaan Carlos Tevez kepada kelab kami, kami meluluskan permintaannya,” kata Shenhua, menurut laporan South China Morning Post.

“Dia dibenarkan kembali ke Argentina dan mendapatkan rawatan di Clinica Jorge Bombicino dan perlu kembali menyertai kumpulan pada 30 Ogos dan menyertai latihan.

Tevez menandatangani kontrak dua tahun dengan kelab CSL Januari lalu dan menurut laporan media, pemain itu menerima gaji sekitar AS$800,000 (RM3.43 juta) menjadikannya antara pemain dengan bayaran tertinggi di dunia.

Bagaimanapun, klausa dalam kontrak yang menyaksikan perpindahannya dari Boca Juniors menyatakan bahawa kelab Argentina itu perlu membayar lebih daripada setengah bayaran perpindahan jika penyerang itu tidak melengkapkan dua musim bersama Shenhua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 9:23 AM