WALSH (kiri) bersama Stephen Van Huizen. - FOTO Abdullah Yusof
WALSH (kiri) bersama Stephen Van Huizen. - FOTO Abdullah Yusof
Saiful Affendy Sapran


PELBAGAI kemungkinan akan terjawab pada sidang media Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini terutamanya membabitkan jawatan Pengarah Teknikal yang kini disandang oleh Terry Walsh.

Difahamkan jawatan itu tidak diwujudkan lagi selepas Walsh kemungkinan besar beralih tugas kepada aspek pembangunan seperti yang dinyatakan oleh Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal.

Andai benar, khabar angin yang menyatakan bekas pengendali skuad kebangsaan, Tai Beng Hai menggantikan tempat Walsh tidak tepat.

Mengulas situasi itu, bekas kapten skuad negara, Mohamad Abdul Hadi berkata, pelbagai impak boleh berlaku andai jawatan itu tidak diwujudkan lagi.

“Jika jawatan itu dimansuhkan berikutan kekangan kewangan atau MHC berasakan tiada keperluan lagi, mungkin ia satu tindakan yang betul.

“Tapi bagi saya skop tugas Pengarah Teknikal adalah luas. Adakah dengan ketiadaan Walsh ia dapat memberi jaminan pasukan hoki negara akan menuju ke arah lebih baik,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jelas Mohamad, berdasarkan pengalamannya di bawah bimbingan Walsh dari 1991 hingga 1993, pakar dari Australia itu seorang jurulatih berkaliber.

“Beliau yang membantu pasukan layak ke Sukan Olimpik Barcelona 1992,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 12:23 AM