REAKSI Chen Tang Jie (kanan) dan Toh Ee Wei ketika menentang gandingan Thailand, Pakkapon Teeraratsakuk-Phataimas Muenwong. FOTO ASWADI ALIAS
REAKSI Chen Tang Jie (kanan) dan Toh Ee Wei ketika menentang gandingan Thailand, Pakkapon Teeraratsakuk-Phataimas Muenwong. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Sekurangnya-kurangnya satu slot buat beregu campuran negara di separuh akhir sudah terjamin apabila bakal menyaksikan pertemuan suku akhir antara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing di suku akhir Masters Malaysia esok.

Tang Jie-Ee Wei yang diletakkan sebagai pilihan utama berjaya mara apabila menang ke atas gandingan India, B Sumeeth Reddy-Sikki Reddy 21-9, 21-15 pada aksi pusingan kedua di Axiata Arena, hari ini.

Ia disusuli dengan kemenangan pasangan profesional, Kian Meng-Pei Jing selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengatasi wakil Korea Selatan, Wang Chan-Shin Seung Chan 15-21, 21-19, 21-19.

Tang Jie-Ee Wei yang sudah mengesahkan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024, menjangkakan pertemuan dengan senior mereka bakal berlangsung sengit tatkala Kian Meng-Pei Jing mahu mengulangi pencapaian 2017 apabila berjaya muncul juara.

"Sejak pusingan pertama lagi, kami sudah berdepan ujian yang besar, bukan hanya suku akhir. Kami menjangkakan ia akan bertambah sukar di suku akhir apatah lagi berdepan rakan senegara yang berpengalaman," kata Ee Wei.

Pemain kelahiran Melaka itu mengakui mereka perlu kekal fokus dan buat persiapan terbaik menghadapi aksi suku akhir.

Sementara itu, satu lagi beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut melangkah ke suku akhir selepas menundukkan gandingan Taiwan, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang dalam pertarungan tiga set 17-21, 21-19, 21-13.

Pasangan suami isteri itu yang diletakkan sebagai pilihan keempat akan bertemu wakil Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati bagi perebutan tiket ke separuh akhir.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Yu Sin yang tersingkir di pusingan kedua selepas tunduk di tangan pilihan kedua dari Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje 10-21, 15-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 3:49 PM