Skuad bola sepak kini memburu kedudukan ke-12 terbaik selepas gagal dalam misi melangkah ke suku akhir di Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2015.

Malaysia tewas 0-4 kepada Jepun dalam aksi Kumpulan C semalam sekali gus terpaksa akur berada di kedudukan ketiga menerusi satu kemenangan dan dua kekalahan.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee akan bertemu pasukan dari Kumpulan B Mexico, esok dalam aksi klasifikasi tempat 9-16 dengan 12 pasukan terbaik layak secara automatik ke Universiade 2017.

“Kita akan bermain saingan klasifikasi menentang Mexico, jadi kita akan mempunyai sekurang-kurangnya dua perlawanan lagi bagi menentukan kedudukan terakhir pada kejohanan lalu.

“Jadi kita perlu berusaha lebih keras kerana Mexico juga sebuah pasukan yang kuat. Bukan tugas yang mudah,” katanya.

Jepun mendahului 2-0 hasil jaringan Ryuji Sawakami pada minit ke-25 dan 45 sebelum menambah dua gol pada babak kedua menerusi Yasuki Kimoto (m-65) dan Tatsuya Hasegawa (m-90).

“Banyak kelemahan kita terutamanya ketika bertahan. Kita juga mempunyai rehat yang singkat. Lawan turut menggunakan ramai pemain yang tidak beraksi pada perlawanan kedua, berbanding kita yang menggunakan ramai pemain yang sama.

“Ia antara faktor yang menyumbang. Mereka lebih cergas namun hakikatnya kita masih jauh kebelakang dalam aspek teknik dan taktikal serta kematangan,” katanya.

Sementara itu Kim Swee berharap bekas penyerang Harimau Muda A Rozaimi Abd Rahman yang mengalami kemalangan kelmarin pulih seperti sedia kala serta diberikan rehat secukupnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 8:24 AM