Penyanyi, Tomok
Penyanyi, Tomok
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, Tomok yang juga vokalis kumpulan New Boyz berkongsi kesyukuran apabila mendapat tajaan daripada jenama pakaian terkenal Levi's, yang sudi menaja pakaian mereka untuk tampil di konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang Live in Singapore, pada 9 September depan.

Tomok berkata, ini adalah rezeki selepas insiden anaknya tertumpahkan pewarna kuku dan terkena pakaian di butik jenama itu pada Ramadan lalu.

"Waktu itu, saya perlu membayar sehingga RM5,000 sebagai ganti rugi kepada pihak butik jenama itu. Itu pun, saya diberikan diskaun sebab kalau diikutkan, nilainya mencecah RM8,000.

"Tapi, siapa sangka, rezeki untuk saya datang dalam jumlah yang lebih besar apabila baru-baru ini, pihak terbabit menghubungi saya dan nak berkolaborasi untuk menaja pakaian New Boyz di konsert kami nanti. Alhamdulillah," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia dan anggota New Boyz bersyukur kerana ini bukanlah peluang yang kerap hadir buat mereka, lebih-lebih lagi daripada jenama antarabangsa seperti itu.

"Kami rasa sangat gembira sebab ada jenama antarabangsa yang sudi menaja kami. Bukan mudah untuk kami dapat peluang begini. Jadi, saya nak ucapkan terima kasih kepada pihak jenama itu kerana sudi.

"Jadi, di konsert yang bakal berlangsung di The Star Theatre, Singapura itu, mereka akan menaja satu set pakaian kami dan satu set lagi, adalah rekaan pereka fesyen tempatan," katanya.

Sebanyak 5,000 tiket konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang Live in Singapore kini sudah habis terjual dalam masa kurang daripada dua hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 3:13 PM