LORI terjatuh dari ketinggian hampir enam meter. FOTO ihsan Pembaca
LORI terjatuh dari ketinggian hampir enam meter. FOTO ihsan Pembaca
Oleh Farah Shuhaidah Othman


Ipoh : Pemandu lori membawa muatan minuman nyaris maut apabila kenderaan yang dipandu terhumban dan terbalik di tepi jalan pada ketinggian hampir enam meter di Kilometer 266.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran persimpangan lampu isyarat Tol Jelapang di sini, pagi tadi.

Kejadian pada 3.50 pagi itu menyebabkan mangsa, lelaki berusia 35 tahun berasal dari Melaka mengalami kecederaan di beberapa anggota badan.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, anggota bertugas di Balai Ipoh menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu sebelum beberapa anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu mangsa terbabas sendiri ke tepi kiri jalan lalu bergolek dan terjatuh dari tebing jalan.

"Difahamkan mangsa dari Port Klang menghala ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan apabila tiba di tempat kejadian mangsa dipercayai mengantuk menyebabkan lori dipandunya terbabas melanggar pembahagi jalan tepi kiri lalu terjatuh melalui tebing jalan, " katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 9:47 AM