KEADAAN treler yang terbalik selepas dipercayai dipandu laju di selekoh.
KEADAAN treler yang terbalik selepas dipercayai dipandu laju di selekoh.
HM Digital

Kuantan: Dipandu laju ketika mengambil selekoh dipercayai punca sebuah treler terbabas ke bawah tebing sedalam 50 meter di Kilometer 16, Jalan Lama Lipis-Raub berhampiran Klinik Kesihatan Benta, Lipis hingga mengorbankan pemandunya, semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu menyebabkan M Sagar, 29, dari Raub meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk pemandu.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika treler tanpa muatan itu dalam perjalanan dari Raub menghala Benta.

“Ketika tiba di tempat kejadian, lori itu dipercayai dipandu laju ketika mengambil selekoh menyebabkannya gagal dikawal lalu terbabas ke kiri jalan sebelum jatuh ke bawah tebing sedalam 50 meter.

“Di bawah tebing itu, ada tiga rumah dan sebuah pacuan empat roda namun tidak membabitkan kerosakan pada rumah, cuma kenderaan berkenaan mengalami sedikit kerosakan pada bahagian tepi akibat dilanggar treler berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, mayat mangsa terpaksa dikeluarkan anggota bomba sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk dibedah siasat.

“Siasatan awal kes menunjukkan punca kejadian akibat sikap pemandu yang memandu laju ketika melalui jalan berselekoh hingga gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 6:02 AM