MAYAT Muhammad Zulhelmi  (gambar kecil) di lokasi kejadian.
MAYAT Muhammad Zulhelmi (gambar kecil) di lokasi kejadian.

Ipoh: Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan menyebabkan mangsa tercampak ke arah besi penghadang jalan di laluan kiri lebuh raya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi semalam, mangsa, Muhammad Zulhelmi Omar, 19, dikatakan menunggang motosikal model Kawasaki ZX 150RR seorang diri sebelum terbabas berhampiran kilometer 266.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Terowong Menora di sini.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, motosikal dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh besi penghadang kiri jalan.

“Akibat kemalangan itu mangsa maut akibat kecederaan anggota tubuh manakala motosikalnya terseret sejauh kira-kira 20 meter di laluan kiri lebuh raya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 January 2015 @ 8:31 AM