GAMBAR yang didakwa menunjukkan serangan di Sinai, semalam, dimuat naik ke media sosial.
GAMBAR yang didakwa menunjukkan serangan di Sinai, semalam, dimuat naik ke media sosial.
AP

El-Arish (Mesir): Kumpulan militan semalam melancarkan serangan serentak termasuk bom kereta di beberapa sekatan jalan raya di Sinai, mengakibatkan 50 tentera dan anggota keselamatan lain terbunuh.

Serangan yang dilakukan serentak pagi semalam berlaku sehari selepas presiden negara itu berjanji meningkatkan serangan terhadap kumpulan yang didakwa militan Islam.

Ia juga berlaku dua hari selepas peguam negara Mesir terbunuh dalam serangan di Kaherah.

Serangan itu turut mencetuskan pertempuran sengit antara tentera dan militan yang berterusan sehingga petang semalam, yang dianggap paling sengit sejak berdekad lalu di semenanjung itu.

Keganasan yang berlaku menunjukkan perancangan teliti militan berkenaan yang sejak sekian lama memerangi pasukan keselamatan Mesir di Sinai sebelum meluaskan pemberontakan mereka dua tahun lalu.

Sekutu Negara Islam (IS) di Mesir mengakui bertanggungjawab terhdap serangan semalam dan berkata, pejuangnya menyasarkan 15 lokasi tentera serta polis selain melancarkan tiga serangan berani mati.

Dua serangan berkenaan menyasarkan sekatan jalan raya manakala yang ketiga dilakukan terhadap kelab pegawai tentera di el-Arish.

Kesahihan dakwaan itu tidak dapat disahkan, namun ia dimuat naik ke laman Facebook yang dikaitkan dengan kumpulan terbabit.

Selain serangan di kelab pegawai tentera berkenaan, pertempuran juga berlaku di bandar Sheikh Zuweid yang menyasarkan sekurang-kurangnya enam sekatan jalan raya, kata pihak berkuasa.

Kumpulan terbabit turut menawan beberapa askar dan merampas senjata serta kenderaan berperisai.

Sekurang-kurangnya 55 askar cedera, kata pegawai tentera.

Sebuah kenderaan berperisai dimusnahkan ketika dirampas militan terbabit.

Jurucakap tentera Mesir, Brigadier Jeneral Mohammed Samir berkata, pertempuran berterusan sehingga petang semalam.

Kenyataannya yang dimuat naik ke Facebooknya berkata, kira-kira 70 militan menyerang lima sekatan jalan raya di utara Sinai dan 22 dibunuh tentera Mesir.

Tiga kenderaan bersenjata juga dimusnahkan.

Lewat semalam, dia berkata tentera Mesir termasuk tentera udara menyasarkan dua lokasi militan di utara Sinai dan memusnahkan kawasan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 6:42 AM