DUTERTE (tengah) melawat anggota tentera yang cedera ketika melawat kem tentera di bandar Marawi, kelmarin.  - EPA
DUTERTE (tengah) melawat anggota tentera yang cedera ketika melawat kem tentera di bandar Marawi, kelmarin. - EPA
Agensi

Manila: Tentera Filipina bertindak lebih agresif dalam operasi untuk menumpaskan saki-baki militan yang berkubu di Marawi selepas dikunjungi Presiden Rodrigo Duterte Jumaat lalu.

Dengan dibantu pesawat pengawas P-3 Orion, dua jet FA50 mengebom kawasan pertempuran utama di daerah berkenaan semalam.

Tembakan meriam juga dilancarkan, menyasarkan kawasan sama.

Serangan darat turut ditingkatkan dengan tentera cuba memasuki kampung dalam usaha menawannya dan memecahkan penguasaan kira-kira 80 lagi militan dari kumpulan Maute itu.

Duterte melawat anggota tentera yang terbabit dalam operasi itu Jumaat lalu, kunjungan keduanya dalam masa kurang sebulan.

“Pertempuran ini hampir berakhir. Kita perlukan sedikit kesabaran lagi. Pastikan anda tidak terbunuh apabila perang ini berakhir,” kata Duterte kepada anggota tentera terbabit.

Seramai 119 askar mati sejak pertempuran bermula di Marawi Mei lalu dan kira-kira 1,000 lagi cedera.

Menurutnya, lawatan keduanya ke bandar raya berkenaan ialah untuk membuktikan dia memandang berat terhadap keselamatan anggota tentera yang terbabit dalam pertempuran di Mawari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 9:12 AM