Ankara: Amerika Syarikat (AS) kelmarin melancarkan serangan udara pertama dari Turki yang menyasarkan militan Negara Islam (IS) di Syria.

Serangan dilakukan selepas Ankara berikrar sudah bersedia untuk berjuang menentang kumpulan militan terbabit.

Menurut sumber, dron AS dilepaskan dari pangkalan udara Incirlik, selatan Turki, untuk melancarkan serangan udara pertama di tempat yang dikuasai militan IS di Syria.

Menteri Luar Mevlut Cavusoglu sebelum ini mengumumkan Turki bersedia menyertai perjuangan menentang IS di Syria selepas beberapa bulan tidak menyertai gabungan tentera yang diketuai AS itu.

Turki sebelum ini enggan mengambil sebarang tindakan tegas terhadap militan IS, namun selepas insiden pengeboman maut pada Julai di sebuah bandar di sempadan yang dipercayai dilakukan IS, mereka memulakan serangan terhadap kumpulan itu di Syria.

Pentagon awal minggu ini mengumumkan dron bersenjata AS dilepaskan dari Incirlik untuk melakukan misi pemantauan di utara Syria, tetapi semalam kali pertama serangan dilaksanakan.

Menurut laporan media, sebanyak 30 jet pejuang AS dijangka tiba pangkalan udara Incirlik untuk mengambil bahagian dalam operasi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 12:45 PM