REMY.
REMY.
PENGARAH Erma Fatima di pelancaran Santai Lebaran Fiesta 2015 di Istana Budaya.
PENGARAH Erma Fatima di pelancaran Santai Lebaran Fiesta 2015 di Istana Budaya.
PELANCARAN Santai Lebaran Fiesta 2015 di Istana Budaya.
PELANCARAN Santai Lebaran Fiesta 2015 di Istana Budaya.
REMY bersama Erra Fazira di Santai Lebaran Fiesta 2015 di Istana Budaya.
REMY bersama Erra Fazira di Santai Lebaran Fiesta 2015 di Istana Budaya.
Oleh Nor Akmar Samudin


Kesungguhan Remy Ishak merealisasikan program Santai Lebaran Fiesta 2015 anjuran syarikatnya, Aaktor Play House yang berlangsung di Laman Santai, Istana Budaya (IB), bermula 25 Jun lalu hingga 15 Julai ini wajar dipuji.

Ketika ditemui pada pelancaran fiesta itu, Remy yang segak berbaju Melayu rona hijau menegaskan bukan mudah menyediakan persiapan tapak jualan di bawah panas terik sambil menahan lapar dan dahaga.

Remy juga sanggup mengetepikan aktiviti seni sepanjang Ramadan bagi membolehkannya berada di tapak bazar sepanjang masa.

“Memandangkan ini projek pertama Aaktor Play House untuk program sebegini, saya kena pastikan segala-galanya berjalan lancar. Dengan adanya saya di tapak jualan, vendor boleh datang mengadu terus jika ada sebarang masalah.

“Syukur kerana ramai rakan menyokong dan membantu merealisasikan penganjuran tapak jualan ini,” katanya.

Remy turut menjelaskan program yang berlangsung selama 21 hari itu mengenakan bayaran kepada vendor sebanyak RM3,000.

“Setakat ini 20 vendor sudah mengesahkan penyertaan. Tapak ini boleh memuatkan 40 hingga 60 gerai. Selain membeli-belah, saya turut menyediakan tempat wakaf kepada orang ramai yang berminat menderma tudung, telekung, al-Quran dan wang.

“Setiap hari ia dibuka dari jam 12 tengah hari sehingga 12 tengah malam dan pada hujung minggu mungkin waktu berniaga lebih panjang. Objektif utama saya membuka tapak perniagaan ini untuk membantu peniaga Melayu.

“Justeru itu, saya tidak terlalu memikirkan soal untung rugi atau berapa jumlah pengunjung. Saya tolong bangsa sendiri, selebihnya Allah SWT yang tentukan.

“Pengunjung pula boleh membeli keperluan lebaran sambil beramal. Setiap petang ada pelajar tahfiz akan mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran,” katanya mengalu-alukan pengusaha makanan yang berminat menaja juadah berbuka puasa kepada vendor.

Idea penganjuran Santai Lebaran Fiesta 2015 itu timbul apabila pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama rantaian Nur Kasih itu melihat sambutan luar biasa masyarakat terhadap bazar jualan barangan terpakai diusahakan pelakon dan pengarah terkenal, Erma Fatima di pekarangan IB tahun lalu.

“Saya mahu buka peluang kepada semua pihak yang berminat. Erma menyokong usaha ini dan akan turut berniaga pada hujung minggu,” katanya.

Erra Fazira, Nad Zainal, Sherry Alhadad antara artis yang turun padang berniaga. Maklumat lanjut Santai Lebaran Fiesta 2015 boleh diperolehi menerusi hashtag #SantaiLebaran2015.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 9:39 AM