REMY nafi ada perancangan nikah walaupun kekasih nyatakan sebaliknya.
REMY nafi ada perancangan nikah walaupun kekasih nyatakan sebaliknya.
Oleh Nor Akmar Samudin


Pertemuan singkat de­ngan kekasih baru Remy Ishak, 33, iaitu Roszaliza Yusof, 34, di Istana Budaya (IB) kelmarin, wanita itu mengakui dia tertarik dengan aktor berkenaan kerana orangnya bertanggung­jawab dan sentiasa merendah diri.

Tanpa berselindung, wanita itu turut mendedahkan ada perancangan mendirikan rumah tangga selepas dua tahun menjalin hubungan cinta.

“Kami ada merancang untuk berkahwin,” kata Roszaliza.

Pun begitu, Remy yang ada sama di IB sempena pelancaran Santai Lebaran Fiesta 2015 anjuran syarikatnya, Aaktor Play Pause, menafikan ada perancangan ke arah itu sebaliknya dia dan keluarga rancak membuat persiapan perkahwinan adiknya yang akan berlangsung September ini.

“Memang kami berkawan dan saya pernah membawa Roszaliza berjumpa keluarga, tetapi belum ada rancangan mendirikan rumah tangga. Selagi belum ada kepastian, saya tidak akan mendedahkan hubungan kami kepada umum.

“Saya tidak suka bercakap perkara yang membabitkan hati, perasaan dan jodoh jika belum ada kata putus.

“Jika sudah ada ikatan sah, saya akan beritahu,” katanya.

Pelakon popular itu tidak pernah henti dihujani gosip termasuk dikatakan membawa wanita pulang ke rumah. Dia bagaimanapun tidak melatah berdepan cerita panas itu sebaliknya bersikap tenang.

“Cerita kononnya saya membawa perempuan balik ke rumah sudah lama dan ia sering dibangkitkan. Barang­kali ia ‘kerja’ orang sama yang suka memburuk-burukkan reputasi saya. Mungkin saya pernah menyakiti hatinya. Pun begitu saya tidak pernah melayan setiap komennya dan hanya membalas ‘insaflah’.

“Saya pelik macam mana dia boleh reka semua cerita mengarut mengenai saya, seolah-olah tahu semuanya. Adakah dia bersembunyi di bawah pokok bunga saya untuk mengintai kegiatan saya di rumah? Saya tak boleh sekat laman sosialnya kerana esok lusa dia akan buka yang baru pula.

“Cukup-cukuplah memfitnah. Rumah saya di Kuala Lumpur menjadi tempat persinggahan keluarga dari Melaka. Mungkin orang yang dia nampak adalah adik atau kakak saya,” katanya.

Sebelum ini Remy juga pernah dikatakan bercinta dengan anak aktor tersohor, Wan Hanafi Su iaitu Budi Citawan, namun hakikatnya mereka hanya kawan biasa.

Berikutan ada peminat lebih suka melihat Remy menjalin hubungan dengan Budi maka ada yang cuba menying­kap keburukan Roszila yang didakwa suka bersosial.

Remy bagaimanapun menegaskan, apa yang cuba dibangkitkan itu adalah kisah silam Roszaliza.

“Siapa dia dulu sudah jadi sejarah. Kita tidak berhak menghakimi hidup orang lain,” katanya.

Dalam diam, pelakon terkenal ini tidak pernah melupakan insan yang memerlukan malah menjaga dua anak kecil, Dania dan Damia seperti anaknya sendiri.

Jelas Remy ibu bapa kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun itu sudah berpisah dan tidak mampu menjaga zuriat mereka.

“Keluarga kawan saya yang memperkenalkan saya denga Dania dan Damia. Demi memberi kehidupan yang lebih baik, saya menjaga mereka sejak dua tahun lalu.

“Mereka tinggal bersama saya, tetapi jika ada urusan di luar, Roszaliza akan ambil alih menguruskan Dania dan Damia. Mungkin kerana itu timbul isu kononnya Roszaliza ibu tunggal anak dua.

“Jika kami berdua sibuk, keluarga saya akan menjaga mereka. Hubungan Dania dan Damia dengan ibu kandung mereka juga baik dan saya tidak menghalang mereka berjumpa.

“Saya tidak suka menggembar-gemburkan perkara ini. Sebagai manusia kita memang dituntut berbuat baik dengan orang terutama mereka yang kurang bernasib baik. Selagi terdaya saya akan bantu,” katanya.

Anjur fiesta beli-belah

Menyingkap perkembangan lain, menerusi syarikatnya, Aaktor Play Pause, Remy akan menganjurkan Santai Lebaran Fiesta 2015 di Laman Santai, IB, selama tiga minggu mulai 25 Jun sehingga 16 Julai ini.

Roszaliza yang memiliki syarikat pengurusan acara turut bekerjasama dengan Remy.

Sepanjang fiesta jualan dan beli-belah itu pelbagai acara menarik turut dirancang termasuk bacaan ayat suci al-Quran daripada pelajar Mahaad Tahfiz Aman Bestari, busking, jualan ‘car booth’ oleh artis dan selebriti tanah air dan majlis berbuka puasa dengan penghuni Rumah Curahan Kasih Sayang Ikhwan dari Paya Pulai, Pahang.

Remy berkata, ini julung kali syarikatnya menganjurkan fiesta berkenaan dengan dibantu rakan-rakan.

“Salah satu keunikan fiesta ini, saya akan ketengahkan konsep Melayu tradisi dari sudut muzik dan gaya. Semua aktiviti dibuat selepas solat tarawih dan hiburan yang dipersembahkan berlandaskan Islam.

“Turut disediakan tabung membina sekolah pelajar Maahad Tahfiz Aman Bestari yang dianggarkan menelan belanja RM1.7 juta. Saya akan berada di tapak jualan bagi memastikan segalanya berjalan lancar.

“Selaku pe­nganjur saya akan bertanggungjawab sepenuh­nya demi menjaga nama baik syarikat dan sepanjang Ramadan ini saya tidak ada peng­gambaran,” katanya.

Antara artis yang akan berniaga pada fiesta itu adalah Nad Zainal, Erra Fazira, Serina Redzuan, Sherry Alhadat, Puteri Balqis dan Shuib Sepahtu.

Maklumat lanjut boleh layari hashtag rasmi #SantaiLebaran2015.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 11:23 AM