REMY menyampaikan sumbangan.
REMY menyampaikan sumbangan.
Oleh Georgie Joseph


Meskipun sibuk dengan penggambaran dan komitmen seni lain, Remy Ishak dalam diam aktif terbabit dengan kerja amal.

Baru pulang dari Medan bagi menjayakan acara pertunjukan fesyen Islamik, Remy ketika ditemui berkata, kesibukan tidak menghalangnya membantu mereka yang memerlukan.

Terbaru, dia menyampaikan hasil kutipan acara Santai Lebaran pada Ramadan lalu kepada pengasas Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bistari (MTVAB) Puchong iaitu Ustaz Mohd Asri Yunus.

“Melihat jadual kerja saya yang padat, mungkin ramai beranggapan saya tidak ada masa membabitkan diri dengan kerja amal dan program kemasyarakatan.

“Sebagai manusia biasa saya juga ada keinginan untuk beramal jariah.

“Bahkan, sudah lama juga saya berhubung dengan mereka yang mengendalikan sekolah tahfiz,” katanya.

Tegas Remy, ada sebab mengapa MTVAB menjadi pilihannya meskipun premis itu mempunyai infrastruktur lengkap berbanding pusat tahfiz lain.

“Kalau sebut sekolah tahfiz, orang selalu fikir mahu bantu yang susah saja.

“Selepas buat kajian secara menyeluruh saya dapati MTVAB sangat sesuai kerana ia bukan saja menekankan agama semata-mata kerana pelajarnya turut didedahkan dengan pelbagai kemahiran termasuk kulinari, seni dan mekanikal,” katanya selepas menyampaikan sumbangan.

Remy turut berbesar hati apabila ada badan korporat menyokong usaha ini dengan menyampaikan sumbangan kepada MTVAB.

“Selain mewujudkan tabung pada acara Santai Lebaran saya turut menghubungi syarikat korporat. Syukur, Naza World tampil memberi sumbangan,” katanya.

Beralih perihal karier, Remy akan berehat sehingga hujung tahun selepas tamat penggambaran drama Rumi dan jawi.

“Saya akan kembali ke set penggambaran Rumi dan Jawi pada 1 September ini. Drama 40 episod arahan Erma Fatima ini menjalani penggambaran lebih tiga bulan.

“Selepas itu, saya mahu berehat panjang. Namun tak mustahil saya terima tawaran kerana saya kuat bekerja. Tengoklah macam mana nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 11:06 AM