Suasana sekitar Fiesta Muslimah BH yang diadakan di Zebra Square.
Suasana sekitar Fiesta Muslimah BH yang diadakan di Zebra Square.

Kuala Lumpur: Keuntungan jualan hampir 100 peratus ketika menyertai Fiesta Muslimah BH (FMBH) 2015 mendorong pengusaha makanan dan minuman, Kamaliah Mansor menyertai FMBH’17 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) bermula 2 hingga 4 Jun depan.

Kamaliah, 32, berkata, beliau tidak mahu melepaskan peluang menyertai FMBH’17 yang diadakan untuk kali ketiga itu memandangkan ia platform terbaik menambah pendapatan.

Katanya, penyertaan FMBH 2015 di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, Kuala Lumpur 24 dan 25 Oktober 2015 itu bazar jualan pertama disertainya dan tidak menyangka mendapat keuntungan besar.

“Ketika FMBH’15 lalu, sambutan diterima di luar jangkaan hingga terpaksa menambah stok makanan dan minumannya dengan kerap.

“Pada awalnya, saya tidak begitu yakin mampu menjual memandangkan kali pertama menyertainya, tetapi kehadiran orang ramai dan vendor lain membuatkan jualan saya laku.

“Menjelang tengah hari, semua jualan saya habis bahkan rakan lain yang menumpang produk mereka juga habis dibeli pengunjung,” katanya.

Kamaliah berkata, beliau juga tidak menyangka boleh mendapat keuntungan hampir 100 peratus daripada jualannya dan berharap FMBH ini dapat diteruskan kerana memberi banyak manfaat kepada semua pihak.

“Reaksi diterima daripada orang ramai juga sangat positif. Kehadiran mereka begitu membantu jualan peniaga dan pada masa sama kami juga menawarkan produk berbaloi,” katanya.

Beliau bercadang menyertai FMBH’17 dan yakin ia mendapat sambutan menggalakkan kerana dibuat pada bulan Ramadan selain lokasi SACC.

“Berniaga di FMBH memang seronok. Ditambah bakal diadakan pada Ramadan, pasti menambah kemeriahan orang ramai untuk membeli-belah.

“Saya menjual pelbagai jenis kuih raya dan beberapa jenis air yang menjadi antara produk dicari untuk menyambut hari raya,” katanya.

Kamaliah berkata, penganjuran itu juga memberi manfaat kepada semua orang dan beliau berpendapat tidak rugi berkunjung ke FMBH yang akan diadakan nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 3:08 AM